Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konvensyen nasional k'jaan perpaduan untuk kestabilan
Diterbitkan:  May 11, 2023 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur Ahad ini, bakal menjadi bukti bahawa gabungan 19 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan mampu duduk semeja berbincang mengangkat agenda rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata walaupun kerajaan hari ini dibentuk menerusi gabungan parti yang berbeza dari segi ideologi, namun kesemuanya berkongsi nilai yang sama iaitu untuk mencapai kestabilan dalam negara.

Menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu diadakan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, Sollehin sebaliknya berkata konvensyen itu merupakan medan untuk menyatukan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan supaya terus kekal kuat dan stabil.

“Keutamaan kita sekarang ini bukan PRN, (tetapi untuk) memastikan kestabilan kerajaan yang ada sekarang ini.

"Kalau kita nak hadap PRN, mungkin lepas PRN kita bergaduh sebab keputusannya tidak bagus dan akhirnya menimbulkan keretakan kepada kerajaan sedia ada.

"Yang paling penting adalah konvensyen ini menyatukan perbezaan ideologi untuk duduk bersama, untuk memastikan kerajaan pusat yang ada sekarang ini terus kekal kuat,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk “Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Hala Tuju Malaysia Madani” terbitan Bernama TV malam tadi.

Turut senada, Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung (gambar, bawah) yang menyifatkan penganjuran konvensyen itu sebagai petanda positif ke arah memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat ingin melihat sebuah kerajaan yang stabil dan berpadu demi menjaga kestabilan rakyat. Konvensyen tersebut membuktikan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat.

Tohmahan dan serangan dari pihak lain adalah perkara biasa tetapi yang lebih penting adalah kita bersedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Lee berkata kejayaan penganjuran konvensyen itu juga bakal membuka lebih banyak ruang kepada penyokong akar umbi parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan memahami mengapa satu permuafakatan perlu dibina bagi berhadapan cabaran ekonomi dan sosial untuk memastikan Malaysia terus mara ke hadapan.

Konvensyen bertemakan “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia” yang julung kali diadakan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim enam bulan lepas, dijangka menghimpunkan lebih 10,000 kepimpinan parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS