Warisan tak letak calon di semua enam PRN
Tidak ada sebarang calon akan diturunkan oleh Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi sebagai tanda keikhlasan sokongan mereka terhadap kerajaan.
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata pendirian itu sudah dinyatakan penyokong partinya selain turut memaklumkan hal berkenaan kepada pemimpin kerajaan pusat.
"Saya sudah nasihatkan untuk mereka jangan bertanding dan saya telah maklumkan dalam mesyuarat induk kerajaan perpaduan baru-baru ini bahawa kami tidak akan minta kerusi walaupun pada peringkat awal ada usaha nak bagi Warisan di Kedah," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Menurut Mohd Shafie mereka hanya akan menggunakan sumber yang ada untuk menyokong calon dalam kalangan parti kerajaan perpaduan.
Dalam keadaan sekarang, kata bekas ketua menteri Sabah itu lagi Warisan sebenarnya mampu untuk bertanding namun memilih untuk bertindak sebagai pembantu kepada parti lain.
"Walaupun Warisan ada kekuatan semasa pilihan raya peringkat parlimen ada 4,000 undi, bukan tidak boleh bertanding, tetapi kami mahu (tunjukkan) keikhlasan kita," katanya.
Dengan ketetapan itu juga, tambah Mohd Shafie, Warisan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Teratai di Selangor yang kini diwakili Adunnya, Bryan Lai Wai Chong.
Kata Mohd Shafie dia sudah berbincang mengenai kedudukan kerusi DUN Teratai dengan Lain serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
"Saya ada (bagi) cadangan dan itu terserah kepada menteri besar bagaimana untuk membantu," katanya.
Untuk rekod Lain merupakan calon DAP-PH yang memenangi kerusi Teratai dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018.
Bagaimanapun Lain menyertai Warisan awal tahun ini selepas dia meninggalkan DAP ekoran dakwaan skandal menjalin hubungan sulit pada 2022.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/ee4ddda6813f13e47f48d68a6888ef19.jpg)
