Pegawai kesihatan 'terlajak kaya' diperolok lepas kena siasat
GLOBAL | Tidak cukup dengan sesi siasatan di depan pegawai antirasuah negara selama tiga jam, seorang pegawai kesihatan daerah turut berdepan dengan sindiran dan kata-kata sinis daripada wartawan yang menunggu kemunculannya.
Kejadian itu melibatkan Ketua Jabatan Kesihatan Lampung, Reihana, yang dipanggil agensi antirasuah Indonesia kerana didapati memiliki kekayaan yang tidak sepadan dengan kedudukannya.
Selepas berakhir sesi memberi keterangan kepada pihak berkuasa, Reihana diserbu petugas media semasa dia berjalan ke kenderaannya dengan iringan anggota keselamatan.
Antara lain Reihana ditanya sama ada dia sebenarnya seorang penyanyi atau kakitangan awam, dan sudah berapa banyak album dihasilkannya.
“Puan, alis mata puan seperti Syahrini,” kata salah seorang wartawan yang mengelilingi Reihana sebelum ia disambut dengan ketawa.
Syahrini merupakan penyanyi Indonesia yang bukan saja terkenal dengan bakatnya malah gemar menunjuk-nunjuk kemewahan hidup kepada orang ramai.
Apabila Reihana mendiamkan diri, wartawan memujuknya agar memberikan sebarang komen kerana ia adalah peluang untuk penjawat awam terbabit membersihkan dirinya.
"Ayuh puan, ini ruang untuk puan bersuara, jika tidak nanti kad prestasi puan akan kelihatan hodoh," katanya seperi dipetik Kompas.
Nama Reihana mula menarik perhatian ramai di Indonesia kerana wujud beberapa kejanggalan berhubung kedudukannya sebagai pegawai kesihatan daerah serta pengisytiharan harta yang dibuatnya.
Mula menjadi pegawai kesihatan di Lampung sejak 14 tahun lalu, orang ramai tertanya-tanya bagaimana dia boleh bertahan begitu lama di sebalik pelbagai kecurigaan yang dikaitkan dengannya.
Sesetengah petugas di situ dipindahkan ke tempat lain, bersara atau ditangkap kerana rasuah namun Reihana - yang gemar berpakaian jenama mahal - seperti tidak boleh disentuh.
Dia juga sering dilihat membawa beg tangan jenama Hermes dan Birkin, selain menggayakan cincin berlian.
Menurut laporan detik.com, Reihana mendakwa borang pengisytiharan hartanya diisi oleh orang bawahannya sehingga sepanjang lima tahun tiada sebarang peningkatan harta dilaporkan.
Pegawai Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia juga memberitahu, Reihana memiliki enam akaun bank namun hanya satu yang diisytiharkan kepada kerajaan.
Menurut portal yang sama, dalam borang pengisytiharan hartanya Reihana mengaku memiliki tanah dan bangunan di pelbagai lokasi. Tanpa memiliki hutang jumlah terkini kekayaan Reihana yang didedahkan kepada pihak berkuasa ialah RM822,547.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/2c352c3a81132c69fd26024b2e04f56c.jpg)
