Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki dikompaun RM100 ambil air dari pili bomba di Rantau Panjang
Diterbitkan:  May 11, 2023 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

RM100 - itu nilai kompaun yang dikenakan ke atas seorang lelaki selepas dia mengaku salah mengambil air dari pili bomba tanpa izin di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kes itu diselesaikan di luar mahkamah selepas individu terbabit mengakui kesalahannya dan membayar kompaun yang ditetapkan.

Kata JBPM, selepas siasatan dijalankan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantai Panjang mengeluarkan penalti ke atas lelaki terbabit.

“Pelaku, Tuan Salehuddin Tuan Mat dikompaun menurut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu kesalahan penyalahgunaan pili bomba,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu perhatian orang ramai tertumpu kepada tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang mengedarkan air kepada penduduk di kawasan terbabit menggunakan bekalan yang diambil dari pili JBPM Kelantan.

Dia yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat mendakwa langkah tersebut sudah mendapat kebenaran daripada syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai pembekal air.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu juga mendakwa mereka mengambil air dari pili bomba bagi mengelakkan risiko kerana ketika itu jalan raya sesak, manakala lori yang membawa air pula bersaiz besar.

Tindakan itu juga menarik perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang menasihatkan pihak yang terbabit meminta maaf kerana mengambil air tanpa kebenaran JBPM.

Menurut JBPM, mengikut undang-undang tiada sesiapa boleh menggunakan pili bomba kecuali untuk tujuan memadamkan kebakaran.

“Malah adalah salah sekiranya ada sesiapa menutup, mengepung atau menyembunyikan pili sehingga tempat itu sukar dipastikan atau mengganggu mana-mana pili bomba,” katanya.

Mengikut seksyen 23(1) akta itu juga, katanya, tiada sesiapa selain pihak berkuasa air boleh melakukan kerja menjejaskan pili itu atau aliran air kepadanya.

Pihak berkuasa air juga kena memberikan notis bertulis berkaitan kerja dilakukan kepada Pengarah JBPM negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja itu boleh dimulakan.

Jika dalam keadaan darurat atau kecemasan, katanya, kerja itu boleh dilakukan segera namun notis hendaklah diberikan secepat mungkin kepada pengarah berkenaan.

“JBPM menasihatkan mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan air pili sebagai cara penyelesaian isu kekurangan bekalan di kawasan tertentu,” katanya.

Lihat Komen
ADS