Menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat di enam negeri, MIC berkata, mereka tidak akan menuntut diberikan kerusi tradisi parti berkenaan.

Pun begitu kata presidennya SA Vigneswaran MIC tetap berhajat untuk meletakkan calon di beberapa kerusi dewan undangan ngeeri (DUN) yang dianggap "munasabah".

Kerusi berkenaan katanya diyakini boleh dimenangi sekali gus menyumbang kepada kejayaan kerajaan perpaduan di negeri berkenaan.

Menurut Vigneswaran keputusan itu diambil parti terbabit setelah mengambil kira suasana semasa politik tanah air.

"Saya nak beritahu, MIC tidak akan meminta kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi sebelum ini.

"Pada PRN kali ini, tumpuan kami adalah mendapatkan jumlah kerusi yang munasabah yang boleh dimenangi, dan sebarang rundingan terakhir akan dibuat oleh pucuk pimpinan BN," katanya.

Bekas yang dipertua Dewan Negara itu ditemui pemberita selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Tak dedah kerusi mana

Dia berkata demikian ketika ditanya jumlah kerusi yang bakal akan ditandingi oleh parti itu pada PRN yang dijangka bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, sebelum ini MIC selaku parti komponen BN bertanding tiga kerusi DUN di Selangor dan dua masing-masing di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun prestasi MIC tidak memberangsangkan apabila dalam PRU ke-14 lalu, parti itu hanya menang di Jeram Padang di Negeri Sembilan.

Sementara itu dalam PRU ke-15 pada tahun lalu MIC hanya memenangi satu kerusi parlimen iaitu di Tapah dan dimenangi melalui penyandangnya M Saravanan.

Menurut Vigneswaran MIC sedar BN kini merupakan rakan sekutu PH lalu membentuk kerajaan perpaduan, justeru tidak wajar untuknya meminta jumlah kerusi DUN yang sama seperti sebelum ini.

"Sebelum ini, MIC bertanding menentang PH dan kita kalah. Sekarang, mereka juga rakan dalam kerajaan pusat.

"Maka tak wajar untuk kami menuntut kerusi yang dimenangi oleh mereka," katanya.

Pada masa sama Vigneswaran mengakui MIC sudah mengenal pasti beberapa kerusi DUN yang dilihat sebagai sesuai untuk bertanding dan berpotensi untuk dimenangi.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan jumlah dan kerusi yang disenarai pendek oleh parti itu.

"Sebarang keputusan muktamad akan diambil di mesyuarat BN," katanya.