Dengan siapa pun 'parti itu' bersama, pasti kena tendang - Zahid
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan gabungan parti-parti yang didakwanya konon-konon memperjuangkan kaum Melayu akan berpecah tidak lama lagi.
Dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid dalam ucapan amanat ulang tahun Umno malam ini berkias dengan menyorot semula insiden perpecahan dalaman yang dialami salah satu parti komponen gabungan pembangkang tersebut.
Bahkan timbalan perdana menteri itu menegaskan Umno sendiri pernah bekerjasama dan cuba mewujudkan perpaduan ummah dengan parti terbabit.
“Walaupun kita cuba dengan perasaan yang mahu mewujudkan penyatuan ummah, kita telah cuba atas nama piagam dan Muafakat Nasional, tapi parti itu dengan siapa pun - apabila dia bersekongkol - pasti parti itu akan ditendang dan diterajang termasuk kita.

“Saya yakin gabungan parti yang disertai oleh parti itu sekarang ini pun apabila kocakan mula berlaku, saya fikir tak lama lagi gabungan itu akan pecah.
"Rakan kongsi politik mereka akan juga ditendang sebagaimana dia tendang kita,” katanya di surau yang terletak di bangunan Ibu Pejabat Umno di tengah Kuala Lumpur malam ini .
Pada 2019, Umno dan PAS memeterai piagam Muafakat Nasional sebagai langkah ke arah pakatan pilihan raya rasmi.
Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, PAS menyertai PN. Langkah itu bagaimanapun tidak disenangi oleh Umno, yang menjurus kepada perpecahan MN.
‘Kahwin mutaah tak kekal lama’
Diminta mengulas lanjut mengenai ucapannya itu, Zahid menyifatkan hubungan politik parti di dalam PN itu seperti perkahwinan mutaah politik (kahwin kontrak).

“Kita mendengar bahawa perkahwinan mutaah politik itu pasti dalam bentuk sementara.
“Kita tunggulah apabila retak menanti belah,” katanya selepas ditanya pemberita.
Sementara itu, dia dalam ucapannya turut menekankan perjuangan asas dalam mengukuhkan kekuatan Melayu dan Islam masih kekal dalam asas parti itu meskipun telah bergabung dalam sekutu baru.
“Kalau kini kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, walaupun jumlah sumbangan kita kecil, namun kalau kita lihat mudarat, mana lebih besar? Mana lebih kecil kalau kita bersama satu pihak kini bersama rakan kita dalam kerajaan perpaduan?
“Tentu kita lihat mudarat yang kita pernah bersama-sama satu pihak atas nama Melayu kononnya, atas nama Islam kononnya dan mereka masih menempelak Islam tergugat.
“Sedangkan kita berada dalam kerajaan sekarang ini, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk mensyumulkan Islam berasaskan akar umbi, tunjang kita sebagai orang Melayu, maka kita akan terus perkukuhkan perjuangan tanpa tinggalkan kemajmukan bahawa Malaysia sebuah negara majmuk,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/0b83aa0b3f3d57ffd2162c38d475ff5d.jpg)
