Samling: Tindakan badan antarabangsa peluang jelaskan keadaan
Syarikat balak Sarawak, Samling, hari ini mengesahkan telah menerima notis daripada Sistem Pengurusan Hutan (FSC) bahawa badan itu telah menerima aduan mengenai firma terbabit.
Menurut Samling, dalam notis berkenaan, FSC berkata ia berhasrat menghubungi semua pihak berkepentingan untuk meneroka penyelesaian pertikaian alternatif, tanpa memulakan siasatan penuh.
FSC pada Rabu lalu mengumumkan telah menerima aduan terhadap entiti-entiti Samling Global Limited yang berkaitan dengan dua pemegang sijil FSC.
FSC dalam pengumumannya berkata ia akan "meneroka sama ada langkah penyelesaian pertikaian alternatif, siasatan lanjut atau keputusan langsung boleh diteruskan".
Entiti-entiti tersebut didakwa mempunyai "penglibatan tidak langsung" dalam "aktiviti yang tidak dapat diterima" seperti yang ditakrifkan dalam Dasar Persatuan FSC dalam satu aduan kepada FSC pada Oktober 2022.
Aduan oleh sebuah gabungan NGO itu adalah berkaitan dengan aktiviti di beberapa kawasan, termasuk Kawasan Hutan Baram Atas, antara 2017 dan 2022, menurut FSC.
Sebagai respons, Samling berkata langkah FSC tersebut dialu-alukan kerana memberikan firma itu peluang untuk "menjelaskan keadaan".
"Samling menyambut baik inisiatif FSC sebagai peluang untuk menangani dan menyangkal pelbagai dakwaan dan maklumat yang telah dibuat terhadap Samling oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekali gus," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
BACA: Kelemahan skim sijil balak bangkitkan isu ‘greenwashing’
'Tiada pilihan selain saman'
Pengumuman FSC itu hadir ketika Samling mengemukakan saman terhadap NGO Sarawak, Save Rivers yang dijadualkan akan dibawa ke mahkamah minggu depan.
Samling menyaman Save Rivers atas kenyataan yang dianggap oleh firma itu sebagai fitnah berkenaan aktiviti syarikat itu di kawasan Baram Atas.

Langkah ini dianggap oleh pengkritik sebagai saman strategik terhadap penglibatan awam (Slapp), namun Samling berkata ia sebagai pilihan terakhir untuk membersihkan namanya.
Save Rivers juga merupakan sebahagian daripada gabungan NGO yang mengadu kepada FSC yang mendorong tindakan oleh FSC.
Ahli-ahli gabungan itu termasuk Jawatankuasa Tindakan Hak Komuniti Gerenai (GCRAC), Persatuan Keruan, The Borneo Project dan Bruno Manser Fund.
NGO-NGO itu juga mengadu perkara yang sama kepada Skim Pensijilan Kayu Malaysia, tetapi proses penyelesaian pertikaian dihentikan sementara menunggu saman terhadap Save Rivers.
Tiada bukti salah laku
Sementara itu, Samling memberi jaminan bahawa ia akan memudahkan sebarang penyelesaian pertikaian alternatif dan bekerjasama dengan FSC melalui "dialog proaktif dan telus".
Ia juga menjelaskan bahawa keputusan FSC menerima aduan itu bukan merupakan bukti bahawa pemegang sijil FSC kumpulannya terlibat dalam sebarang salah laku dan mengulangi penafian atas tuduhan tersebut.
Semalam, William Tingang, penduduk asli Long Moh di Baram, berkata keputusan FSC menerima aduan berkenaan adalah bukti bahawa aduan tersebut mempunyai asas.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/75c3cdd52ee169f5a9857326a44c58ce.jpg)
