Wakil rakyat Australia Selatan mahu desak inkues baru kes Anna Jenkins
Seorang wakil rakyat Australia Selatan menolak keputusan terbuka yang disampaikan selepas inkues yang diadakan di Pulau Pinang berhubung kematian dan kehilangan Annapuranee Jenkins, seorang penduduk Adelaide kelahiran Malaysia, berakhir semalam.
Portal dalam talian Free Malaysia Today melaporkan bahawa Ahli Majlis Perundangan Australia Selatan, Frank Pangallo, berkata dia akan mendesak satu lagi inkues di negeri itu untuk menentukan punca kematian Jenkin.
“Seluruh inkues ini (di Pulau Pinang) adalah sandiwara.
"Dan saya fikir ia hanya dilakukan untuk meredakan tekanan yang datang dari Australia, dan daripada aktivis hak asasi manusia di negara ini dan di tempat lain," Pangallo dipetik sebagai berkata.
Pangallo dilaporkan berkata koroner Australia Selatan boleh menjalankan inkues ke atas kematian mana-mana warga Australia Selatan "di mana-mana sahaja di dunia", dan koroner mereka sedang menunggu keputusan inkues di Pulau Pinang.
Mayat wanita yang juga dikenali sebagai Anna ditemui pada 14 dan 15 Jun 2020, lebih tiga tahun selepas laporan orang hilang dibuat, pada 5 Dis 2017.
Mayatnya ditemui di tapak pembinaan dalam perkarangan Kelab Turf Pulau Pinang di Batu Gantung, oleh seorang pekerja binaan.
Menurut FMT, Pangallo berkata dia akan menggesa koroner Australia Selatan untuk serius mempertimbangkan membuka inkues baru.
“Mereka akan dapat menentukan punca kematian berdasarkan bukti yang telah dikumpul oleh anak lelakinya dan bukti yang dikemukakan kepada koroner Malaysia, tetapi tidak diambil kira,” katanya seperti dipetik.
Untuk berbuat demikian, dia berkata permintaan mesti dibuat untuk pihak berkuasa Malaysia menyerahkan bukti dan dokumen kepada koroner Australia Selatan.
Pada 12 Ogos 2020, sepasukan pakar forensik yang terdiri daripada seorang penolong penguasa polis (ASP), 4 inspektor, 4 sarjan dan seorang koperal, telah menjalankan pemeriksaan dan menemui serpihan tulang.
Pada 13 Januari 2021, 154 hari selepas carian pertama, pasukan forensik melakukan carian lain dan menemui lebih banyak serpihan tulang.
Sijil kematian kemudian dikeluarkan untuk Anna tanpa punca sebenar kematian dikenal pasti.
Bantuan pada keluarga Jenkins
Dalam temu bual dengan Malaysiakini tahun lalu, anak Jenkin, Gregory Steven Jenkins, mendakwa dia perlu menjalankan siasatan sendiri berhubung perkara itu walaupun kes itu mempunyai 11 pegawai penyiasat (IO) selama empat tahun.
Oleh itu, Pangallo berkata dia juga akan mencadangkan agar parlimen Australia Selatan membayar balik keluarga Jenkin untuk lebih A$300,000 yang dibelanjakan untuk menyiasat sendiri kes itu di Pulau Pinang dan kos untuk menghadiri inkues selama enam tahun.
"Jangan lupa anak Anna, Greg menyiasat keseluruhan kes itu. Ia adalah kerja kerasnya," katanya.
Dia menambah bahawa dia juga akan meminta sumbangan kerajaan Australia Selatan untuk kos sebarang rayuan atau semakan kehakiman terhadap penemuan koroner Pulau Pinang, serta untuk Parlimen Australia Selatan meminta menteri luar Penny Wong campur tangan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/5378e96874f42fce2cca331eb064c4e6.jpg)
