Seorang banduan yang dihukum berkaitan kes dadah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan meliwat rakannya di Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada tahun lalu.

Mohammad Rohaizad Rosli, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan seorang lelaki berusia 33 tahun.

Kesalahan itu berlaku di dalam bilik di sebuah blok Pusat Pemulihan Akhlak Machang, kira-kira jam 1 pagi pada 26 Jun 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding hari ini Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh kerana melakukan kesalahan tersebut semasa menjalani hukuman kes dadah.

“Hukuman tersebut diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Rohaizad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Rohaizad dan bermula dari hari dia ditangkap iaitu pada 24 Julai 2022, selain satu sebatan.