Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menolak penyertaan artis yang secara terbuka mempromosikan nilai LGBT daripada membuat persembahan di negara ini.

Ketua ulama PAS, Ahmad Yahaya, menekankan supaya agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyekar normalisasi penyerapan nilai LGBT.

Katanya, PAS yakin jika tiada tindakan maka ia akan memberi kesan buruk terhadap generasi muda Malaysia.

"Seharusnya kita sedar bahawa agenda normalisasi LGBT dalam negara sentiasa berlaku melalui jarum yang sangat halus.

"Tindakan yang segera dan tegas pula sangat wajar bagi membendung perkara tersebut daripada terus meracuni pemikiran anak bangsa walaupun secara tidak langsung," kata Ahmad pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat ketika pimpinan PAS bertegas menuntut kerajaan membatalkan konsert Coldplay akan datang di Malaysia November ini.

Pada 10 Mei lalu, ahli jawatankuasa PAS pusat, Nasrudin Hassan berkata konsert itu sepatutnya dibatalkan kerana vokalis Coldplay Chris Martin yang lantang menyokong hak LGBT.

Bagi menyokong hujahnya, Nasrudin berkongsi gambar Martin memegang bendera pelangi semasa konsert di London, England dalam catatan Facebook.

Pada satu kenyataan berasingan hari ini, Ketua Penerangan PAS Johor Abu Irfan Muhammad Al Urduni (gambar, atas) berkata cukup jelas bahawa Coldplay merupakan "simbol LGBT".

Sementara itu, Ahmad berkata PAS telah berulang kali mengingatkan kerajaan mengenai keperluan memperbaiki garis panduan Puspal, menggesa penglibatan aktif agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dalam Puspal.

Puspal meluluskan garis panduan baru pada 16 Nov 2022, merangkumi peraturan yang dikemas kini, termasuk kod pakaian.

Penghibur lelaki antarabangsa dilarang berpakaian seperti wanita manakala artis wanita tidak boleh memakai pakaian yang mendedahkan bahagian dada secara meluas atau skirt "terlalu pendek di atas paras lutut."

Selain itu, artis lelaki dan perempuan dilarang menanggalkan pakaian mereka semasa membuat persembahan.

Garis panduan baru itu juga menyatakan bahawa artis asing tidak dibenarkan membuat persembahan semasa atau pada malam hari raya umat Islam melainkan mereka telah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Islam yang berkenaan.

Garis panduan yang dikemas kini itu sepatutnya berkuat kuasa pada tahun depan, tetapi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan Puspal membuat semakan berdasarkan maklum balas industri.

Sementara itu, Ahmad berkata sayap ulama PAS mencadangkan penggubalan peruntukan undang-undang khusus untuk melindungi negara daripada "ancaman LGBT".

"Ia bagi memastikan negara bebas daripada normalisasi budaya tersebut serta mengekalkan dasar menolak pengaruh budaya LGBT.

"Tambahan lagi, penganjuran sebarang bentuk program yang merosakkan nilai dan jati diri golongan muda dalam negara bertentangan dengan imej ketimuran serta dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bertujuan membentuk, mengangkat serta mengekalkan identiti budaya yang diamalkan di Malaysia," katanya lagi.