Lim harap PH bantu rakan pertahan P Pinang dari 'ekstremisme'
Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, berharap semua pihak dalam PH di Pulau Pinang bekerjasama erat dengan "rakan-rakan" gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kata Lim langkah itu sesuai dengan semangat yang didukung PH di peringkat persekutuan.
Tanpa menyebut secara khusus pihak yang dinamakan rakan itu, dapat diyakini Lim merujuk kepada Umno-BN di Pulau Pinang.
Menurut bekas ketua menteri Pulau Pinang itu kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan model pentadbiran yang baru.
Mengakui tetap berdepan dengan beberapa cabaran, kerajaan sekarang tetap mempunyai peluang-peluang yang baru demi memastikan masa depan negara terpelihara.
"Dengan semangat kerjasama di peringkat persekutuan, saya juga berharap PH Pulau Pinang bekerjasama erat dengan rakan-rakan kita untuk mempertahankan Pulau Pinang daripada bibit ekstremisme yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Terdahulu Lim memuat naik beberapa gambar dia menghadiri majlis rumah terbuka sempena hari raya anjuran Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Reezal Merican Naina Merican, di Kepala Batas semalam.
Reezal juga merupakan bekas ahli parlimen Kepala Batas dari Umno dan pernah menjadi menteri. Bagaimanapun dalam PRU pada 19 Nov tahun lalu Reezal Merican gagal mempertahankan kemenangannya dan kalah kepada calon PN, Siti Mastura Muhammad.
Umno-BN merupakan musuh tradisi kepada PH sehinggalah kedua-dua gabungan itu bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU ke-15 pada Nov tahun lalu.
Kesepakatan PH-BN akan teruji dalam PRN di enam negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. Enam negeri itu ialah Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sendiri.
Antara ujian penting kepada kerjasama itu ialah dalam pembahagian kerusi, serta kemampuan setiap parti menggerakkan sokongan kepada rakan gabungan.
Kata Lim semasa menghadiri majlis rumah terbuka Reezal Merican itu dia juga diberikan layanan yang mesra.
Lim juga berasa hairan melihat bagaimana sambutan yang hangat diberikan penduduk setempat kepada Reezal Merican sehingga mendorongnya bertanya bagaimana dia boleh kalah kepada calon PAS-PN.
"Beliau (Reezal Merican) hanya senyum tanpa berkata apa-apa," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/62ff064e538a320c71b50a3b95dc40d6.jpg)
