Menteri dan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) digesa mengikut jejak langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersedia mengaku kesilapannya melantik guru-guru yang tidak fasih berbahasa Mandarin menjadi pengetua dan penolong kanan sekolah rendah Cina sehingga membawa kepada peristiwa Ops Lalang, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah mengakui bahawa apa yang berlaku pada tahun 1987 itu adalah satu kesilapan dan beliau kini mengambil pendirian menyokong pendidikan bahasa ibunda dalam masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, Lim bertanya sama ada pemimpin dan menteri BN sekarang, yang turut bertanggungjawab terhadap Ops Lalang pada 1987, serta kontroversi perlantikan pengetua sekolah rendah Cina itu, juga bersedia berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, apakah mereka sanggup mengikut jejak langkah Anwar dan mengaku bahawa apa yang mereka lakukan 20 tahun lalu adalah satu kesilapan.

Katanya, pemimpin dan menteri BN berkenaan termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; mantan Presiden Gerakan yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Presiden MIC serta Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Paduka Rafidah Aziz.

Lim adalah antara mereka yang ditahan di bawah Ops Lalang dan ditempat di Kem Tahanan Kamunting selama 18 bulan.

Akui kesilapan

Najib merupakan Ketua Pemuda Umno pada 1987 dan Lim mendakwa apa yag dilakukan oleh Najib ketika itu adalah lebih teruk daripada tindakan Ketua Pemuda Umno sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghunus keris.

Sehubungan itu, Lim merujuk kepada Kertas Putih kerajaan yang bertajuk 'Ke arah Memelihara Keselamatan Negara' yang dibentangkan di Parlimen pada 23 Mac 1988.

Katanya, kertas putih itu mencatatkan bahawa dalam satu perhimpunan Pemuda Umno yang diketuai oleh Najib pada 17 Oktober 1987, kain-kain rentang dibawa termasuk yang menyebut 'basahkannya (keris) dengan darah orang Cina'.

"Apakah pemimpin MCA dan Gerakan bersedia untuk meminta pemimpin dan menteri dari Umno dan Barisan Nasional mencontohi Anwar dan mengaku bahawa mereka telah melakukan kesilapan dalam krisis tahun 1987 itu," katanya.

Lim berkata, apakah pemimpin dan parti-parti komponen BN bersedia menuntut Najib dan Hishammuddin mengakui kesilapan mereka itu Najib kerana kain rentang tersebut dan Hishammuddin kerana menghunuskan keris semasa perhimpunan agung Pemuda Umno yang menurutnya, boleh menjejaskan jalinan masyarakat majmuk di negara ini.