Jawatankuasa Surau Sayidina Umar di Tri Pinnacle, Tanjung Tokong, menuntut badan pengurusan bersama (JMB) kondominium itu menyatakan komitmen mereka menyelesaikan isu penggunaan pembesar suara semasa azan secara bertulis.

Pengerusi jawatankuasa itu Muhammad Nasir Abd Majid berkata persetujuan secara hitam putih itu penting bagi mengelakkan insiden yang berlaku baru-baru ini berulang semula.

Katanya isu yang sama mungkin timbul sekali lagi jika anggota JBM kondominium tersebut bertukar.

“Kalau tidak ada hitam putih, nanti JMB bertukar kami mungkin kena buat permohonan baru pula,” katanya kepada Malaysiakini.

Isu larangan atau bantahan penggunaan pembesar suara untuk melaungkan azan dari surau itu menjadi perhatian ramai selepas ia dibangkitkan seorang 'aktivis', Mohd Sophian Mohd Zain, melalui media sosial.

Ia menjadi semakin panas apabila ada rakaman pertemuan di antara wakil JMB dengan sebahagian penghuni Tri Pinnacle tersebar.

Kejadian dikatakan berlangsung pada Mac lalu memaparkan suasana yang tegang semasa isu tersebut dibincangkan.

Bagaimanapun semalam Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, campur tangan dan berbincang dengan kedua-dua pihak.

Ahmad Zakiyuddin yang juga exco hal ehwal Islam Pulau Pinang menganggap isu tersebut menjadi panas gara-gara tindakan Mohd Sophian yang menularkannya dan "mengelirukan" orang ramai.

Tak pernah halang azan

Selepas perbincangan di antara kedua-dua pihak, Pengerusi JMB Tri Pinnacle, Alex Low, memohon maaf dan meminta mendakwa pihaknya tidak berniat untuk melarang azan dilaungkan dari surau tersebut.

“Kami kesal dan kecewa kerana satu pertemuan tertutup telah ditularkan kepada umum.

"Video itu menimbulkan kekeliruan. Kami cuba menguruskan dan menyelesaikan isu itu secara baik dengan pasukan pengurusan surau," tambahnya semalam.

Muhammad Nasir berkata dia berharap selepas ini tiada lagi isu seperti yang berlaku di kediaman tersebut terjadi di mana-mana surau lain di negara ini.

"Sebab itu kami bertegas mahu JMB memberikan komitmen secara hitam putih," katanya.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan responnya terhadap desakan Surau Sayidina Umar itu, JMB terbabit kelihatan keberatan memberikan komitmen JMB terbabit secara bertulis.

Anggota JMB Tri Pinnacle, Lim Beng Hai, berkata pihaknya memang menyokong sebarang langkah untuk mengukuhkan perpaduan, keamanan serta sikap saling menghormati dalam kalangan penduduk yang berbeza kepercayaan dan budaya di negara ini.

Katanya perbezaan yang ada itu adalah sebahagian daripada daripada rakyat yang hidup aman di negara ini.

"Sama ada (persefahaman itu dinyatakan) secara hitam atau putih, ia tetap tidak akan membawa apa-apa perbezaan," katanya.

Lim juga sekali lagi menegaskan JMB terbabit tidak pernah menghalang azan dikumandangkan namun ia menjadi isu panas selepas diambil kesempatan oleh pihak tertentu.

"Kami merayu kepada semua pihak yang bertanggungjawab agar menghentikan ia serta-merta," katanya.