Menteri Besar Selangor Amirudin Shari secara peribadi berharap dia akan dikekalkan menerajui kerajaan negeri untuk sepenggal lagi, tetapi berkata, dirinya akan akur dengan sebarang keputusan Pakatan Harapan.

Katanya, sebagai ahli parti, dia akan mematuhi strategi yang dirancang parti untuk Selangor pada pilihan raya negeri akan datang kerana ia adalah demi kepentingan semua.

“Kalau ditanya secara peribadi, tetapi selaku ahli parti kita kena patuh dengan beberapa strategi, perancangan yang bkan keputusan saya sendiri.

“Kalau orang tanya pendirian saya, saya lebih suka untuk kekal. Tetapi sudah pasti parti, pimpinan perlu buat keputusan dan boleh melakukan perbincangan baik demi kebaikan semua,” katanya pada sidang media di Bestari Jaya, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika ditanya jika dirinya akan kekal sebagai poster boy atau wajah Pakatan Harapan untuk Selangor pada pilihan raya negeri.

Poster boy ditentukan oleh parti. Tetapi bukan masalah poster boy, saya rasa di Selangor, kita nak lengkapkan kesemuanya, iaitu polisi, dasar kejayaan dan saya percaya poster boy bukan segala-galanya.

“Yang penting apakah kita berjaya deliver dan mampu laksanakan,” katanya.

Semasa sidang akhbar itu, Amirudin ditanya jika dia bersedia untuk berdepan dengan Azmin Ali sekiranya bekas menteri besar Selangor itu mahu mencabarnya semula.

Azmin Ali

Pengerusi PKR Selangor itu berkata dia tidak tahu sama ada Azmin bercadang berbuat demikian, atau tidak, tetapi bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Terpulang kepada apa sahaja strategi yang dia mahu gunakan, tetapi apa pun, kita perlu bersedia untuk sebarang situasi dan cabaran," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah, Amirudin berkata tindakan kerajaan pusat menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan tidak akan memberi kesan kepada Selangor.

Ini kerana larangan terhadap orang bukan Islam menggunakan istilah itu dan beberapa perkataan lain, yang disifatkan sebagai eksklusif untuk Islam, telah dilaksanakan di Selangor sejak sekian lama.

“Di negeri Selangor tak ada impak sebab kita dari dulu sampai sekarang peraturannya begitu bukan kalimah Allah (sahaja) ada juga beberapa lagi perkataan yang tidak dibenarkan dalam teks (bukan Islam).

“Akta Mesin Cetak (dan Penerbitan) juga tidak benarkan. (Jadi) ia tidak beri impak (di Selangor),” katanya.

Menurut menteri besar itu, Selangor sebelum ini pernah memulangkan kitab Injil yang mengandungi perkataan Allah kepada Sarawak, dan proses yang sama akan dilakukan sekiranya teks seumpama itu ditemui di negeri tersebut.

“Maknanya kalau kita dapat jumpa, kita pulangkan balik kepada yang berkenaan dan ia tidak boleh digunakan di negeri Selangor.

“(Peraturan ini) kerana nak jaga kesucian dan nak pastikan bahawa umat Islam ini dipertahankan dari segi akidahnya,” katanya.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang penduduk Melanau yang beragama Kristian dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ini tidak akan diteruskan.

Pada majlis hari ini, Amirudin melancarkan Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM), sebuah projek bagi memastikan tiada gangguan operasi loji rawatan air semasa insiden pencemaran sumber air mentah beroperasi secara berperingkat bermula Oktober depan.

Ia melibatkan kos keseluruhan RM320 juta.

Dijangka siap tahun depan, Amirudin berkata rakyat akan dapat menikmati pembekalan air yang berterusan tanpa gangguan walaupun pencemaran sumber air mentah dikesan berlaku.

“Fungsinya untuk alihkan air tercemar dan salurkan air yang kita simpan renew water dan jaga kualiti air.

“Ia boleh berfungsi sepanjang masa tetapi bila diversion berlaku, kita pamkan air ke lokasi yang dikeringkan tadi. Jadi, dengan skim ini, kita tidak perlu tutup loji rawatan lagi," katanya.

[Baca berita penuh]