Khalid sukar lupakan BN..., kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau "bersimpati" dengan calon pembangkang, Tan Sri Khalid Ibrahim yang disifatkannya "masih sayang kepada Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau "bersimpati" dengan calon pembangkang, Tan Sri Khalid Ibrahim yang disifatkannya "masih sayang kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, ucapan "luar sedar" Khalid hingga "tersasul" berkempen untuk calon BN jelas menunjukkan beliau masih sukar untuk menghilangkannya BN dari hatinya.
Najib berkata, ia juga jelas menunjukkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu masih sayang kepada BN walaupun kini berdiri di atas platform PKR dan akan bertanding menentang calon BN, K Parthiban, 38, dalam pilihanraya kecil Ijok, demikian menurut laporan Bernama.
"Dia tersasul kerana dalam hati dan jiwanya, dia masih tidak dapat lupa bahawa BN banyak berjasa kepadanya. Sebab itu dalam kepalanya susah nak hilangkan perasaan (sayang) pada BN itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Taman Bukit Badong Timur, hari ini.
Ketika berucap di hadapan penyokong semasa berkempen di Ladang Tuan Mee, Rabu lalu, Khalid, 61, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie itu dilaporkan tersasul meminta pengundi di Ijok memastikan lawannya dari BN menang pada pilihanraya kecil itu di esok.
Antara petikan ucapannya, menurut laporan Bernama, ialah: "Sekarang kita buat perubahan dan sekarang ialah masanya...dan saya berharap kita semua bersama-sama untuk membuat perubahan dan mengundi calon Barisan Nasional sebagai yang menang untuk Dewan Undangan Negeri Ijok. Terima kasih."
Kata-kata Khalid itu menimbulkan keriuhan dalam kalangan 150 orang yang hadir kerana beliau "mempromosikan" lawannya dalam pilihanraya itu.
Pertimbangan wajar
Mengulas perkara itu, Najib berkata ia secara jelas menunjukkan Umno dan BN paling banyak berjasa dalam mencorakkan negara dan mempertahankan kepentingan rakyat berbilang bangsa walaupun hakikat itu sering dinafikan pembangkang.
"Ini rakyat dapat lihat sendiri. Banyak projek pembangunan kerajaan seperti PNB dan saham-saham amanah yang memberi jasa tidak ternilai kepada rakyat dan negara," katanya.
Sehubungan itu, katanya rakyat terutamanya pengundi Ijok perlu membuat pertimbangan sewajarnya dalam memilih calon yang akan mewakili suaramereka.
"Pengundi Ijok perlu lihat dua perkara, iaitu siapa yang boleh bela pengundi kawasan ini. Rakyat juga perlu lihat dari segi kepentingan negara keseluruhannya, pilih mana satu parti yang boleh diberi kepercayaan untuk menjamin masa depan negara," katanya.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk K Sivalingam, 59 yang meninggal dunia di Chennai, India 4 April lalu akibat serangan jantung.
Pada pilihanraya umum 2004, Sivalingam menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon PKR Abdol Rahman Moharam dan seorang calon bebas. Sejumlah 12,272 pengundi berdaftar di Ijok akan keluar mengundi esok.
Sementara itu, Khalid dalam satu ceramah di Batang Berjuntai malam tadi berkata, klip video rakaman ucapannya itu telah disunting.
"Sebenarnya, dari jangan undi Barisan Nasional, telah disunting menjadi undi Barisan Nasional," katanya sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai "satu politik sekolah rendah".
Manakala Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, sewaktu berucap di ceramah yang sama, secara sinis "mengucap tahniah" Khalid kerana parti pembangkang tidak pernah mendapat tempat dalam televisyen.
"Saya pun hairan mengapa Khalid boleh masuk TV. Ini adalah satu kepalsuan dan satu fitnah," katanya.
Klip video tersebut ditayangkan sewaktu siaran berita di RTM dan TV3.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.