Ketika penduduk Ijok dicurahkan dengan jutaan ringgit projek pembangunan, malaysiakini juga turut mendapat 'durian runtuh'.

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok esok telah melonjakkan jumlah pembaca malaysiakini ke paras tertinggi setakat ini.

Sejak Isnin lalu, Malaysiakini.com mencatatkan purata 1.3 juta kunjung-layar (pageviews) dan lebih 160,000 pengunjung unik. Ini merupakan peningkatan 60 peratus pengunjung lamanweb ini seramai 100,000.

Lamanweb malaysiakini.tv juga turut mendapat sambutan di luar dugaan sejak ia dilancarkan hujung tahun lalu. Selasa lalu, Malaysiakini.tv mencatatkan lebih 44,000 muat-turun video.

Malaysiakini menjangka jumlahnya akan meningkat apabila hari pengundian pilihanraya kecil Ijok berlangsung esok.

"Kami menjangka memperolehi sehingga 250,000 pembaca pada hari ini dan esok. Keadaan ini mungkin memberi tekanan terhadap server kami, tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk menanganinya," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran.

"Bagaimanapun, para pembaca mungkin mengalami sedikit kelewatan ketika mengakses lamanweb pada masa puncak," katanya.

Sajian terbaik

Peningkatan trafik di Malaysiakini.tv semalam - ekoran pertambahan pengunjung untuk membaca temubual eksklusif dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - telah menyebabkan ia tertutup sementara selama sejam pada jam 8 malam tadi.

"Banyak lagi yang bakal kami sajikan kepada pembaca," kata Premesh.

"Kami mahu memberi liputan berita, ulasan dan video terbaik kepada pembaca kami menjelang pilihanraya umum akan datang," tambahnya.

Esok, malaysiakini mahu menjadi media pertama menyiarkan keputusan pilihanraya kecil Ijok yang menjadi tumpuan semua pihak sekarang.

Proses pengundian akan bermula jam 8 pagi dan ditutup pada jam 5 petang. Keputusan rasmi akan diketahui pada jam 8 malam, tetapi malaysiakini akan mengikuti proses pengiraan undi mulai kira-kira jam 5.30 petang.

Jika anda belum lagi melanggan malaysiakini , langganilah sekarang.