Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin yakin PN akan menang sampai 80% undi dalam PRN
Diterbitkan:  May 20, 2023 6:25 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Perikatan Nasional (PN) yakin mampu meraih sehingga 80 peratus undi terutama daripada pengundi Melayu pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ia berdasarkan kajian yang dibuat oleh gabungan itu yang menunjukkan Bersatu, Gerakan dan PAS mendahului dari segi populariti dan kepimpinan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidifiltri Pagoh di Johor hari ini, dia berkata pilihan raya negeri akan datang akan menjadi penanda aras baru berhubung masa depan politik Malaysa.

"Saya yakin, walaupun tidak 100 peratus, tapi 70 hingga 80 peratus sokongan rakyat terutama orang Melayu sangat baik.

"Daripada kajian, kita dapatkan pandangan mereka, seperti di Selangor nampaknya kita agak ke hadapan.

Muhyiddin juga percaya sokongan kepada PN akan berkembang berdasarkan situasi politik semasa Kerajaan Perpaduan.

"Semua (tindak-tanduk kerajaan) ini akan dinilai oleh mereka (pengundi).

"Saya jangka sebahagian besar rakyat kecewa apa yang sedang berlaku dalam negara, mereka tidak lihat keberkesanan, cakap banyak tetapi cakap tidak serupa bikin," kata presiden Bersatu.

Sementara itu, Muhyiddin mendakwa dia mendapat tahu ramai bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu atau PAS secara senyap-senyap kerana merasakan mereka sudah tidak ada tempat lagi dalam politik Umno.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai khabar angin bekas ahli Umno menyertai PN ketika pilihan raya negeri semakin hampir.

Awal hari ini, bekas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengesahkan dia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PAS.

Dia berkata borang permohonan keahlian menyertai parti itu telah dihantar beberapa bulan lalu dan masih belum diluluskan PAS.

Ini selepas PN dilaporkan dijangka akan mengumumkan kemasukan Annuar dan lebih sepuluh bekas pemimpin Umno menyertai parti itu.

Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan juga berkata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilihat menunjukkan minat untuk menyertai Bersatu.

Dia mendakwa pengumuman ahli baru PAS ini dijangka dibuat pada hujung bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS