Ijok: 83.08% pengundian, tertinggi dalam sejarah p'raya kecil
Proses pengundian dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok tamat jam 5 petang tadi, dengan 81.88 peratus pemilih telah membuang undi.
Proses pengundian dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok tamat jam 5 petang tadi, dengan 81.88 peratus pemilih telah membuang undi.
Keputusan
dijangka diumumkan kira-kira jam 8 malam. Pengundian bermula di sembilan pusat pengundian jam 8.00 pagi dengan keadaan dilaporkan tegang di sekurang-kurangnya dua daerah mengundi kawasan majoriti Melayu di Kampung Ijok dan kawasan majoriti India di Tuan Mee.
Kampung Ijok, berlaku perbuatan cemuh-mencemuh antara kira-kira 250 anggota "Gerak Gempur" Pemuda Umno dengan 100 penyokong PKR. Kira-kira 25 anggota polis berkawal di situ untuk mengawal keadaan.
Sementara itu berlaku pertengkaran antara tukang kempen dari kedua-dua parti yang bertanding di Tuan Mee.
Penyokong BN kelihatan lebih ramai daripada penyokong pembangkang di kebanyakan pusat mengundi. Polis juga mengadakan tiga sekatan di jalan-jalan utama menuju ke bandar Ijok.
Kebanyakan yang mengundi awal pagi ini terdiri daripada warga emas, sesetengahnya datang menaiki kerusi roda. Para pekerja BN kelihatan membawa mereka ke pusat mengundi, dengan menggunakan kereta dan van.
Tukang kempen BN meminta pengundi keluar mengundi lebih awal kerana bimbang hujan di sebelah petang. Manakala pihak PKR pula meminta penyokongnya mengundi kemudian untuk memudahkan parti itu mengesan 'pengundi hantu' di sebelah pagi.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Kamaruzaman Mohd Noor, seramai 2,486 atau 19.5 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi.
Sehingga jam 1 tengahari, jumlah pemilih yang keluar mengundi meningkatkan kepada 39.8 peratus, dan jumlahnya meningkat kepada 58.66 peratus pada jam 3 petang.
Manakala sehingga jam 4.25 petang, jumlah pemilih yang keluar mengundi ialah 73.92 peratus atau 9,093pengundi.
Apabila semua mengundi ditutup jam 5 petang tadi, 83.08 peratus pemilih keluar mengundi.
Peratusan pengundian kali ini adalah yang tertinggi dalam sejarah pilihanraya kecil. Dalam pilihanraya umum lalu, peratusan pengundian di Ijok adalah 76.17 peratus atau 9,411 daripada 12,404 pengundi.
Proses pengiraan undi akan bermula sejurus kemudiannya. Keputusannya dijangka diketahui kira-kira jam 8 malam.
Persaingan hebat
Semua pihak sependapat bahawa pilihanraya kecil Ijok menyaksikan persaingan cukup sengit antara calon BN, K Parthiban dan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Sudah pasti ia adalah satu persaingan hebat. Bagaimanapun, saya rasa BN akan menang," kata seorang pemimpin tinggi MIC kepada malaysiakini malam tadi.
Perayu undi PKR juga berkongsi perkara yang sama. Persoalannya adalah berapa banyakkah majoriti yang bakal diperolehi Parthiban.
Penganalisa politik MIC berkata, mereka menjangka Parthiban menang dengan majoriti 500 hingga 1,500 undi. Bagaimanapun, sumber-sumber Umno pula menjangka majoritinya ialah antara 1,000 hingga 1,200 undi.
Manakala sumber-sumber parti pembangkang pula menjangka, walaupun mungkin tewas, tetapi dengan majoritinya tipis kira-kira 500 undi.
Terdapat banyak faktor mengapa mereka membuat kesimpulan tersebut. Pertama, isu dalaman dalam BN Kuala Selangor sendiri. Pemimpin tempatan berkata, pengundi Melayu tidak gembira kerusi tersebut terus diberikan kepada MIC.
"Ia sudah menjadi rahsia umum bahawa Umno bahagian Kuala Selangor Umno mahu kerusi tersebut. Alasannya, mereka tidak puashati dengan calon BN dari MIC sebelum ini," kata seorang pemimpin tempatan.
Beliau merujuk kepada wakil rakyat sebelum Datuk K Sivalingam yang meninggal dunia pada 4 April lalu. Dia dikatakan kurang memberi perhatian kepada kawasan majoriti Melayu di Ijok.
Kehadiran PM
"Oleh itu, ramai (pengundi Melayu) bersikap berkecuali atau akan merosakkan undi apabila mengetahui calon dari MIC dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil ini. Mereka bukan tidak suka Parthiban tetapi kita rasa Umno mempunyai alasan yang kukuh untuk meminta bertanding di Ijok," tambahnya.
Hanya kesungguhan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo serta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dapat menenangkan mereka supaya terus mengundi BN.
Ini ditambah pula, dengan curahan projek-projek pembangunan bernilai jutaan ringgit di kawasan majoriti Melayu itu, yang mengiringi lawatan mereka ke situ.
Namun, dipercayai kehadiran pembangkang tetap kukuh di kawasan berkenaan. Dalam pilihanraya umum 2004, empat kawasan majoriti Melayu, memihak kepada pembangkang, dan trend ini dijangka berterusan dalam pilihanraya kecil kali ini, terutama dengan daya tarikan kempen penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga pengundi India, khususnya di kawasan majoriti kaum tersebut di Tuan Mee. Mereka juga tidak puashati dengan perkhidmatan Sivalingam yang belum lagi menunaikan janjinya untuk memberi mereka tanah untuk membina rumah.
"Dia datang kes ini setiap lima tahun sekali untuk meminta undi kita, memberi janji tanah dan kemudian lupa tentang kita," kata seorang penduduk.
PKR berpendapat parti itu boleh mengambil kesempatan daripada keadaan itu dan meningkatkan kempen parti itu di kawasan tersbut.
Pengundi Cina
Sementara itu, sumber-sumber itu memberitahu bahawa BN juga risau bagaimana pengundi Cina akan membuat pilihan mereka hari ini.
"Terdapat kira-kira 1,000 pengundi pembangkang di sini. Kali ini, pengguna Cina di sini nampaknya tertarik dengan kehadiran pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Kita rasa beliau mungkin menarik undi di sini," kata seorang pembantu Najib.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada maklumat yang dikumpulkan, nampaknya pengundi India akan memilih BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu dan India walaupun undi mereka berpecah tetapi sokongannya masih memihak kepada BN.
"Berdasarkan kepada perkembangan setakat ini, kami rasa BN akan menang dengan majoriti 1,200 hingga 1,500 undi," kata seorang pembantu Parthiban.
Namun, pihak pembangkang masih percaya mereka telah melakukan apa yang terbaik dalam kempen pilihanraya kecil ini, dengan kemenangan boleh memihak kepada pembangkang atau BN dengan majoriti 500 undi.
Namun, para penyokong Najib yakin bahawa Parthiban akan menang dalam pilihanraya kecil Ijok hari ini.
"Sehingga ini, kita yakin mendapat majoriti 1,500 undi. Jika (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Kit Siang dapat menarik lagi undi (malam tadi), majoritinya mungkin dalam lingkungan 500 undi," kata seorang pembantu timbalan perdana menteri itu.
Klip video

