DAP: Muhyiddin 'bingung' anggap gesaan Umno undi DAP luar biasa
Seorang pemimpin DAP menganggap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai "bingung" apabila dia menganggap gesaan Umno agar ahlinya mengundi DAP sebagai luar biasa.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali bahkan mengingatkan pemimpin Bersatu dan PN berkenaan bahawa gesaan sebegitu bukanlan ganjil.
"Saya merujuk sikap bingung yang dizahirkan oleh Muhyiddin apabila ada pemimpin Umno meminta ahlinya menyokong DAP pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
"Pada hakikatnya, Muhyiddin sendiri pernah mengajak rakyat menyokong DAP.
"Meskipun dia rasa agak luar biasa apabila ada pemimpin Umno menyeru ahli-ahli parti itu menyokong DAP, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang ganjil bahkan buat dirinya sendiri.
"Hal ini kerana, Muhyiddin sendiri pernah berkempen agar orang ramai menyokong DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Muhyiddin sebagai berkata tindakan bekas setiausaha agung Umno, Ahmad Maslan, menggesa ahli parti itu memberikan sokongan kepada DAP dalam PRN tidak lama lagi sebagai "luar biasa".

Kata Muhyiddin selama hampir 40 tahun dia berada dalam Umno, itulah kali pertama dia mendengar pemimpin parti terbabit meminta anggota parti menyokong DAP.
Pun begitu ahli parlimen Pagoh itu berkata, terpulang kepada ahli Umno sama ada mahu menyahut seruan berkenaan atau tidak.
“Kami (PN) membuat kajian dan mendapati pada pilihan raya lalu, pemindahan sokongan daripada Umno kepada DAP tidak berlaku.
"Apa yang berlaku ialah mereka (pengundi) menyokong PN kerana perjuangan Umno tidak seperti dahulu," dakwanya.
Bukan batu penghalang
Untuk rekod selain Ahmad, pemimpin DAP juga mengajak penyokong parti berkenaan memenangkan calon Umno sebagai sebahagian daripada usaha menjayakan kerajaan perpaduan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata ahli dan penyokong parti itu perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini sebaliknya melihat masa depan lebih baik.
“DAP sudah pasti mahu memenangi semua kerusi dewan undangan negeri yang dimenangi dan kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, Amanah dan juga Umno turut menang di kawasan mereka," katanya dipetik Utusan Online.
Sheikh Umar berkata pada Jan 2018 Muhyiddin sendiri pernah mengajak penyokongnya memberikan sokongan kepada DAP.
Dalam ucapannya, kata Sheikh Umar, Muhyiddin berkata: "Prinsip Bersatu, siapa bertanding atas tiket Pakatan (Harapan) - DAP ke, Amanah ke, (atau) Keadilan, kita sokong 100 peratus".

Sheikh Umar yang juga bekas exco Johor berkata seruan mana-mana parti untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan adalah penting bagi memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi berlangsung di Malaysia.
"Kali ini gabungan 19 parti telah bermuafakat untuk merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU ke-15.
"Justeru walaupun Muhyiddin rasa 'luar biasa', ia bukanlah batu penghalang untuk parti-parti dalam kerajaan menerokai naratif baru politik rentas parti bagi mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
"Ini termasuklah semasa berdepan dengan PRN akan datang," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/c30a6e9408983b424f354fb8f07fb985.jpg)
