Jangan tunggu lama-lama, tinggalkan Umno segera - PN Johor
PN Johor mengajak pemimpin atau ahli Umno yang tidak senang dengan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, agar bertindak segera meninggalkan parti itu tanpa perlu menunggu lagi.
Naib pengerusinya Mohd Solihan Badri berkata mereka perlu "menghentikan tindak-tanduk" timbalan perdana menteri itu yang didakwanya memalitkan "warna hitam" dalam perjuangan Umno.
Ahmad Zahid juga, dakwa bekas exco Johor berkenaan, "menggadaikan maruah perjuangan" orang Melayu pada era sekarang.
Kata Mohd Solihan, pemimpin serta ahli Umno boleh menggunakan platform PN untuk meneruskan perjuangan mereka untuk agama dan Melayu.
"Pemimpin dan ahli akar umbi Umno keseluruhannya perlu menghentikan tindak-tanduk Ahmad Zahid yang banyak memalitkan warna hitam dalam sejarah kepemimpinan serta menggadai maruah perjuangan politik Melayu era moden.
“Mereka perlu berasa bersalah jika membiarkan situasi buruk ini berterusan di Johor, bahkan menimpa negara dan seluruh bangsa.
"Oleh itu jangan berlengah lagi meninggalkan Umno dan sekarang adalah masa terbaik untuk mereka menggunakan platform PN bagi meneruskan perjuangan membela agama, bangsa serta tanah air.
"Umno sudah rosak dan bukan lagi wadah serta payung Bangsa Melayu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tak wajar terpadam
PN kini dilihat mempergiat serangan mereka ke atas Umno menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung sebulan dua lagi.
Terdapat enam negeri yang akan terlibat dalam PRN dalam tempoh terdekat iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Ia semakin meningkat selepas ada pemimpin Umno menggesa ahli parti terbabit memberikan sokongan kepada calon DAP dalam PRN berkenaan. DAP juga menyeru ahli parti itu memberikan undi masing-masing kepada calon Umno-BN jika diturunkan di tempat mereka.

Untuk rekod Umno-BN dan DAP adalah antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan sekarang.
Semalam Malaysiakini melaporkan bekas setiausaha agung BN dan pemimpin kanan Umno, Annuar Musa, mengesahkan dia memohon untuk menjadi ahli PAS. Dia juga mendakwa ada kira-kira 1,000 yang lain akan menyertai parti itu bersamanya.
Kata Mohd Solihan ahli Umno yang dipecat atau digantung keanggotaan mereka oleh Umno boleh meneruskan idealisme mereka bersama PN yang didakwanya kini menjadi payung orang Melayu.
"Pendirian dan semangat perjuangan tulen ramai pemimpin Umno di Johor bahkan di seluruh negara yang selama ini lantang menegur kepincangan kepemimpinan Ahmad Zahid tidak sewajarnya terpadam serta berkubur begitu sahaja selepas mereka dikhianati, dipecat atau digantung keahlian masing-masing," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/a6c1cb11fa0019d29eac0d522c1dbba7.jpg)
