Penganjuran Minggu Perpaduan adalah penting untuk menyemarakkan semangat rakyat di negara ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya selain itu ia mampu menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan berkaitan kepelbagaian budaya serta segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia.
Menerusi catatan di laman Facebook, perdana menteri memaklumkan dia menghadiri majlis sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di Kuching semalam.
“Saya kagum dengan pelbagai persembahan disaluti elemen perpaduan yang turut dihayati rakyat jelata kendatipun cuaca panas di Kuching,” katanya.
Perasmian majlis itu yang bertemakan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis penuh keharmonian itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof serta menteri-menteri kabinet.
Minggu Perpaduan 2023 yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei turut diadakan di 15 lokasi lain, termasuk Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah, Dataran Tasik Kluang di Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan di Pahang.
- Bernama
