PAS saran Ramasamy contohi Hassan, bukan salahkan PAS
Pemimpin DAP tidak wajar menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas "kegagalan" kerajaan mendapatkan kepercayaan rakyat.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata adalah lebih jujur jika Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, memberitahu kerajaan agar mereka memperbaiki diri sendiri dengan dasar yang sesuai serta wajar.
Bahkan Takiyuddin menyarankan agar Ramasamy mencontohi Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang berani bersuara menegur kerajaan dalam pelbagai isu.
Kata Takiyuddin, Hassan merupakan contoh ahli politik penyokong kerajaan yang "jujur" serta "berhemah" untuk menangangi sesuatu isu yang timbul.
"Barangkali Ramasamy harus mencontohi Hassan dan tidak bertindak menyorok sampah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan bagaimana Ramasamy mendesak kerajaan mencari strategi lain bagi menghadapi pendekatan PAS yang memecah-belahkan rakyat negara ini.
Kata Adun Perai itu beberapa jabatan yang ada gagal menangani naratif yang dibawa PAS serta pembangkang kerana ia lebih bersifat propaganda politik, selain gagal berfikir di luar kotak.

Tambah Ramasamy, dengan gabungan pemikiran dan strategi yang betul daripada kerajaan sokongan politik orang Melayu boleh dialihkan daripada PAS.
Kata Takiyuddin tindak-tanduk dan kenyataan daripada kerajaan yang bercelaru serta selalu bercanggah adalah punca utama PH-BN gagal meningkatkan sokongan serta imej mereka.
"Ia tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan PAS atau kecenderungan orang Melayu menyokong PAS.
"Momokan 'cakap tak serupa bikin' yang meniti dari mulut ke mulut rakyat berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini adalah manifestasi kegagalan itu," katanya.
Tunjukkan sikap prejudis
Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu mendakwa PAS sebagai pembangkang tidak campur tangan atau bertanggungjawab atas momokan tersebut.
Dakwa Takiyuddin PAS sangat faham kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini dan berhujah, ketika negara berdepan dengan konflik kaum, negeri yang menjadi kubu kuat parti itu terus aman tenteram.
"Untuk makluman Ramasamy, hal ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan, tetapi juga manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak, termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama.
"Tanpa perlu berhujah terlalu panjang, kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat itu," katanya.
Selain itu kata Takiyuddin, kenyataan Ramasamy yang seolah-olah mengaitkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan bukan sahaja cacat dan cela, malah bercanggah dengan realiti.
"Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan.
"Di sini jelas bahawa Ramasamy tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/bc5633996bafbc827f2ae17fe9486058.jpg)
