Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Barisan panjang di kaunter imigresen, ‘ulat’ kaut untung besar
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Barisan panjang di kaunter imigresen bukanlah perkara baru. Bagaimanapun, kini banyak ‘ulat’ mengambil kesempatan menjual nombor giliran.

Semakan Malaysiakini di Kompleks PKNS Shah Alam minggu lepas mendapati ramai orang berkumpul di beberapa pintu masuk seawal jam 6.30 pagi.

Apabila pintu masuk dibuka pada jam 8.30 pagi, orang ramai akan bersesak-sesak ke kaunter imigresen.

Oleh kerana permintaan tinggi, ramai orang tidak berjaya mendapatkan nombor untuk menyelesaikan urusan.

Ada juga antara mereka terpaksa datang ke situ beberapa hari kerana setiap proses memerlukan nombor yang berbeza.

“Hari Isnin saya dah datang untuk buat permohonan syarikat.

“Hari Rabu saya kena buat cop pas khas dan hari ini saya kena buat bayaran pula,” kata Nora, wakil sebuah syarikat di Lembah Klang.

Walaupun sesetengah orang menerima keadaan dan memilih untuk kembali pada hari lain, ulat-ulat ini tampil untuk memenuhi permintaan.

Seorang wartawan Malaysiakini yang menyamar sebagai pemohon yang ingin memperbaharui permit kerja pekerja asing diberitahu bahawa “bayaran tambahan” sebanyak RM100 boleh memudahkan urusan.  

“Ada (nombor) tapi kena bayarlah dalam RM100.

“Kena tanya dia (ulat) dulu,” kata seorang majikan yang menunggu dalam barisan kepada wartawan kami.

Apabila wartawan kami diperkenalkan kepada ulat, mereka mengesahkan dengan nada perlahan dapat mempercepatkan urusan.

Bagaimanapun, mereka mula bertanya soalan berkaitan permohonan dan menjadi curiga terhadap wartawan.

Golongan yang berurusan di unit pekerja asing adalah majikan pekerja asing atau wakil syarikat.

Kuota penyebab kelewatan

Difahamkan terdapat kuota harian bagi setiap proses di unit pekerja asing.

“Kuota permohonan mungkin 200, kuota bayaran 200, kuota pembantu rumah 200 dan macam itulah.

“Kalau masih beratur pukul sembilan, balik rumah saja, nombor dah habis,” kata Nora kepada kami.

“Dua hari lalu, saya tidak dapat nombor jadi saya pulang ke rumah.

“Semalam, saya datang awal tapi mereka cakap ada dokumen tercicir dan saya pergi balik untuk ambil, petang itu mereka dah tak nak layan saya, suruh saya datang hari ni,” kata seorang lagi wakil syarikat.

Salah seorang yang hadir mendakwa ulat-ulat di situ seolah-olah mempunyai kesepakatan dengan pegawai imigresen di kaunter.

Sebagai contoh, apabila majikan meminta borang untuk melaporkan pekerja melarikan diri, mereka diminta untuk mengambil nombor dan beratur di barisan belakang.

Tetapi pada masa yang sama, ulat-ulat ini dapat terus ke kaunter dan memotong barisan untuk mendapatkan nombor.

Perkara itu terjadi pada jam dua petang selepas mereka yang beratur diberitahu bahawa nombor giliran telah habis.

Bagaimanapun, tidak semua yang menunggu sanggup membayar duit kepada ulat.

“Kalau tak nak tunggu lama, kena larilah masa mereka (kakitangan PKNS) buka pintu,” kata majikan yang lain.

 Ada ‘orang dalam’

Orang ramai mempersoalkan mengapa terdapat kekurangan pegawai imigresen dan kaunter walaupun barisan panjang.

Mereka justeru membuat spekulasi bahawa ulat-ini mempunyai ‘orang dalam’ untuk memintas sistem.

Sementara itu, seorang pemilik restoran mengadu pergerakan giliran sangat perlahan.

“Saya tak faham kenapa mereka suruh saya datang sini hanya untuk pembayaran, boleh saja buat pemindahan atas talian.

“Dulu boleh buat pemindahan atas talian, sekarang dah tak boleh,” katanya.

“Lepas ambil nombor, boleh pergi bawah makan dan lepak kejap sebab memang lambat nak tunggu giliran,” kata majikan lain kepada wartawan Malaysiakini.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati terdapat kaunter yang pantas sehingga mampu memproses sekitar 40 permohonan dalam masa dua jam. 

Bagaimanapun kaunter lain memproses 17 permohonan pada masa yang sama.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS