Polis Kelantan sudah bersedia hadapi pilihan raya
Polis Kelantan sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan mengambil kira jumlah pengundi dan pusat mengundi nanti.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata meskipun belum mendapat tarikh yang rasmi, pihaknya sedia maklum bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan terbubar secara automatik apabila tempoh penggalnya berakhir bulan depan.
“Dari segi PRN kita masih tidak tahu tarikh tepatnya, tapi sudah semakin hampir, dan pihak polis Kelantan dah bersedia dari awal,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di Gua Musang malam tadi.
Menurutnya persediaan perlu dibuat dengan lebih teliti memandangkan PRN kali ini mungkin akan membabitkan pertambahan parti yang bakal bertanding.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/2b4924848498fb838f3ced2f274eaaf1.jpg)
