Dua buah bas yang disyaki membawa pengundi hantu telah dikesan di pusat pengundian di Sungai Darah tengah hari tadi.

Ketua PKR bahagian Kuala Selangor, Abdul Wahab, 47, berkata beliau nampak dua bas pelancong yang tertulis 'Melaka-Singapura' menurunkan penumpang dekat SRK Rantau Panjang Batang Berjuntai.

"Bus itu berhenti berhampiran pusat pengundian dan menurunkan kira-kira 30 orang. Apabila ia melalui depan kemah parti (untuk membantu pengundi), kami nampak ia kosong.

"Kemudian ia diletakkan berhampiran trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan kami tidak nampak penumpangnya balik semula menaiki bas tersebut," katanya.

Beliau mengesyaki pengundi hantu telah bercampur-gaul dengan para penyokong BN di seberang jalan.

Bas tersebut kemudiannya beredar dari situ tetapi trak FRU masih ada di sana.

Kira-kira jam 12 tengahari, 61.5 peratus pengundi di Sungai Darah telah membuang undi yang tertinggi berbanding dengan lapan pusat pengundian yang lain di Ijok.

Sementara itu, di Kampung Ijok, seorang pegawai PKR mendakwa, penugas parti itu telah "mengenalpasti" sekurang-kurangnya dua orang yang mereka syaki pengundi hantu.

Berkelakuan mencurigakan

Salah seorang daripada mereka, kata Ketua PKR bahagian Tanjung Karang, Abdul Kuthus Omar, kelihatan seperti rakyat Pakistan kerana dia memakai shalwar kameez.

Menurutnya lagi, walaupun sudah berumur, tetapi lelaki itu berkelakuan seolah-olah dia pertamakali mengundi.

"Apabila tiba, dia menunggang motosikalnya terus ke pintu pagar SK Kampung Ijok. Dia tidak tahu yang dia kena letak motosikalnya tidak jauh dari tempat pengundian dan berjalan masuk ke dalam," katanya kepada malaysiakini.

Penyeleras pengundian bagi Jaya Setia, Azmi Mohamad juga menceritakan insiden yang sama berlaku membabitkan dua orang yang didakwanya bukan dari kawasan itu, mengundi di pusat pengundian tersebut.

"Seorang daripada mereka adalah lelaki India yang mengaku, selepas mengundi, datang dari Batang Berjuntai," kata Azmi.

Seorang lagi adalah wanita dan berkelakuan dalam keadaan mencurigakan dan segera beredar ke keretanya," kata Azmi.