Kanak-kanak yatim piatu akan terima sijil kelahiran
Selepas masalahnya dilaporkan Malaysiakini kira-kira sebulan lalu, ada sinar harapan buat Muhammad Yusri, 8, apabila akan diberi sijil kelahiran daftar lewat.
Melalui program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyerahkan sijil kelahiran daftar lewat kepada kanak-kanak terbabit di rumah keluarganya di Port Dickson, Negeri Sembilan, esok.
Penyerahan itu akan dilakukan sendiri oleh Ketua Pengarah JPN Zamri Misman.
Ibu tirinya yang mahu dikenali sebagai Haslinda, 48, berkata mereka sekeluarga bersyukur kerana urusan mendapatkan sijil kelahiran untuk anak yatim piatu itu dipermudahkan kerajaan.
“Alhamdulillah sepanjang proses itu, urusan kami dipermudahkan dengan bantuan pegawai-pegawai JPN.
“Apa yang lebih penting kini saya perlu uruskan pendaftaran persekolahan Yusri, memberi pendidikan dan fokus membesarkannya seperti anak-anak saya sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sijil kelahiran itu akan membolehkan Yusri masuk ke sekolah awam, dan keluarga angkatnya kini boleh memulakan proses mendapatkan kewarganegaraan.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan kisah Yusri menjadi yatim piatu selepas kematian ibu dan ayahnya.

Ayah Yusri merupakan warganegara Malaysia, namun arwah ibunya adalah rakyat Indonesia.
Malangnya kanak-kanak itu terpaksa memikul beban akibat ‘kecuaian’ ibu bapanya apabila mereka gagal menguruskan dokumentasi bagi menentukan status kewarganegaraan buatnya.
Yusri tidak pernah bersekolah dan pada usia semuda itu pastinya dia belum benar-benar mengerti apa yang sedang dialaminya, apatah lagi masa depannya jika terus dibayangi ketidaktentuan gara-gara tiada dokumen pengenalan diri.
Buat masa ini Yusri menumpang kasih dengan Haslinda iaitu bekas isteri arwah ayahnya hasil perkahwinan terdahulu mereka.
Pernikahan arwah bapa Yusri dengan wanita terbabit dikurniakan tiga orang anak berusia antara 14 hingga 24 tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/150f29bae72deef1299eaf1084beada3.jpg)
