Kumpulan hak asasi migran menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat isu ‘ulat’ yang mengambil kesempatan terhadap individu yang mahu mengelak beratur panjang di pusat imigresen.

Pengarah eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata bahawa isu itu sudah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa sebarang penambahbaikan.

“Menteri sepatutnya turun padang untuk melihat sendiri apa yang berlaku di premis kerajaan kerana isu ini telah dilaporkan lebih empat tahun yang lalu – sebelum wabak Covid,” kata Adrian kepada Malaysiakini.

Menurutnya, isu itu boleh diselesaikan sekiranya Jabatan Imigresen melaksanakan sistem yang lebih baik dengan meningkatkan kecekapan pegawai jabatan selain menambah bilangan kaunter.

Adrian Pereira

“Mereka (jabatan) harus lebih proaktif untuk menyiasat pegawai mana yang memberi nombor giliran kepada ulat dan SPRM harus terlibat dalam perkara ini juga,” katanya.

Adrian menjawab pertanyaan Malaysiakini semalam bahawa terdapat majikan pekerja asing atau wakil syarikat yang menjadi mangsa ulat untuk mengelak beratur lama di unit pekerja asing jabatan itu.

Ulat-ulat ini biasanya mengenakan bayaran kira-kira RM100 untuk mendapatkan nombor giliran yang sangat terhad.

Rasuah akan jadi kebiasaan

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorene A Das juga bersetuju dengan Adrian.

Katanya SPRM harus menyiasat penglibatan pegawai yang terlibat kerana masalah ini akan menjejaskan integriti Jabatan Imigresen.

Glorene berpendapat sesetengah orang mungkin beranggapan isu ini bukanlah masalah besar kerana orang hanya mahu menyelesaikan urusan mereka dengan cepat.

Glorene A Das

“Ini akan menyebabkan rasuah dinormalisasi tetapi kami lega kerana ketua pengarah Jabatan Imigresen yang baharu bercakap mengenai memerangi rasuah tanpa rasa takut sejak dia memegang jawatan beberapa bulan lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Glorene menegaskan bahawa rasuah tidak boleh dinormalisasi terutamanya di pejabat kerajaan.

“Kita tidak boleh memupuk amalan menerima rasuah dan Jabatan Imigresen harus serius menangani isu ini dengan menangkap pegawai terlibat dan meminta mereka bertanggungjawab serta menghukum mereka mengikut undang-undang,” kata Glorene.