Timbalan Menteri Kewangan (I) Ahmad Maslan menjangkan enam pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan serentak walaupun pembubaran di negeri terbabit berbeza-beza tarikhnya.
Kata Ahmad dia difahamkan ada dewan undangan negeri (DUN) tertentu yang akan terbubar secara automatik pada Jun ini berdasarkan kepada tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Kali terakhir pilihan raya dibuat bagi melantik Adun di negeri terbabit ialah pada 2018.
"Saya difahamkan hari pembuangan undi akan diadakan pada tarikh yang sama di kesemua enam negeri walaupun (waktu) pembubarannya berbeza-beza.
"Selain tarikh pemilihan, hari penamaan calon juga dijangka ditetapkan pada waktu yang sama.
"Tapi pihak media perlu membuat pengesahan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raua)," kata bekas setiausaha agung Umno itu kepada pemberita di parlimen hari ini.
Tidak semua negeri membubarkan DUN masing-masing apabila Ismail Sabri Yaakob - ketika itu menjadi perdana menteri - mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen pada 10 Okt 2022.
DUN yang tidak dibubarkan pada tahun lalu ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Semua negeri tersebut ditadbir sama ada oleh PAS-PN atau PH.
Beberapa menteri besar sudah memberi bayangan mereka akan menghadap sultan masing-masing untuk mencadangkan agar DUN dibubarkan pada bulan depan.
Sebelum itu semua enam pemimpin negeri terbabit sudah mengadakan pertemuan pada Feb lalu untuk membincangkan kemungkinan membubarkan DUN masing-masing secara bersama-sama.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu pada umumnya mereka sepakat untuk melihat kemungkinan membubarkan DUN pada minggu terakhir Jun.
Semasa PRU ke-15 diadakan pada 19 Nov tahun lalu hanya Pahang, Perak dan Perlis membubarkan DUN masing-masing. Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula mengadakan PRN lebih awal.
Bergantung pada bila negeri terbabit mengadakan sidang DUN pertama selepas PRU ke-14, dalam keadaan semasa PRN mesti diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
Sebelum ini, pelbagai tarikh telah dicadangkan oleh setiap negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mencadangkan 1 Jun untuk pembubaran DUN, manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula menyebut 18 Jun.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mencadangkan pembubaran automatik pada 26 Jun.
