Jangan hanya dekati rakyat sewaktu praya sahaja...
Pilihanraya kecil Ijok sudah selesai dan kita sudah tahu keputusannya. Sepertimana pilihanraya kecil Machap, Barisan Nasional (BN) sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi Ijok dengan hanya pertambahan 201 undi majoriti. Benarlah, kata pemerhati politik sebelum ini, bahawa pilihanraya kecil Ijok adalah sengit.
Pilihanraya kecil Ijok sudah selesai dan kita sudah tahu keputusannya. Sepertimana pilihanraya kecil Machap, Barisan Nasional (BN) sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi Ijok dengan hanya pertambahan 201 undi majoriti. Benarlah, kata pemerhati politik sebelum ini, bahawa pilihanraya kecil Ijok adalah sengit.
Malah, kemunculan tiba-tiba Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari-hari akhir kempen, juga telah ditafsirkan sebagai petanda bahawa BN bermasalah. Ini kerana sebelum ini, kecuali di Pengkalan Pasir di Kelantan, Abdullah menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Walaupun menang, hakikatnya, BN terpaksa mencurahkan puluhan juta ringgit dalam bentuk projek untuk menarik undi penduduk Ijok. Penduduk Ijok berpesta menerima durian runtuh hampir setiap hari jalan tar, longkang baru, hakmilik tanah dan sebagainya.
Dan sudah pastinya, pihak pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan alasan itu sebagai rasional kekalahan mereka. Di samping itu, ada juga yang berpendapat jumlah peratusan tinggi pengundian juga membantu kemenangan BN. Seramai 83.08 peratus pemilih keluar mengundi dan jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia.
Dalam keputusan Sabtu lalu, calon BN, K Parthiban memperolehi 5,884 undi manakala calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, mendapat 4,034 undi. Dengan itu BN menang dengan majoriti 1,850 undi meningkat 201 undi daripada pilihanraya umum lalu (1,649 undi).
Keputusan itu juga menunjukkan undi yang diperolehi oleh BN dan PKR masing-masing bertambah 671 dan 470 undi daripada pilihanraya umum 2004 di mana BN mendapat 5,213 undi manakala PKR mendapat 3,564 undi.
Tidak cukup undi
Ini mungkin menunjukkan sedikit perkembangan positif untuk pembangkang. Pertamanya, walaupun terpaksa mencurah puluhan juta ringgit projek pembangunan di Ijok, tetapi BN menang hanya dengan pertambahan 201 undi majoriti.
Dan tidak dapat dinafikan, kehadiran sepenuh masa penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempen pilihanraya tersebut telah memberi impak yang besar kepada pilihan pengundi. Keputusan itu juga menunjukkan PKR masih mengekalkan kekuatan sokongannya sepertimana sewaktu pilihanraya umum 2004 dahulu.
Itupun merupakan satu petanda baik untuk kepimpinan PKR. Namun, dalam apa juga pertandingan, yang penting adalah kemenangan. Dan BN telah melakukannya sekali lagi di Ijok. Hakikatnya, walau sehebat manapun kempen pembangkang, ia masih gagal merampas kerusi Ijok sepertimana tahun 2004.
Hakikatnya, walaupun ceramah Anwar mendapat sambutan hebat ditambah pula dengan kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkempen tetapi ia masih belum mencukupi untuk PKR merampas Ijok dari tangan BN.
Hakikatnya calon PKR tidak mendapat undi secukupnya untuk menewaskan calon BN di Ijok. Tentu juga ada yang berkata memang sukar pembangkang menang dalam pilihanraya kecil. Ini terbukti apabila lima pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum termasuk Ijok sendiri semuanya dimenangi BN.
Dengan mengambil kira keputusan pilihanraya kecil Machap di Melaka ataupun di Ijok, jelas pada kita bahawa pembangkang, khususnya PKR, perlu mengubah pendekatan mereka dalam menghadapi pilihanraya. Pendekatan menemui rakyat hanya ketika pilihanraya kecil atau pilihanraya umum diadakan, nampaknya kurang berkesan untuk memenangi hati rakyat.
Sebaliknya mereka harus mengamalkan pendekatan mendekati rakyat sepanjang masa. Inilah yang dilakukan oleh rakan PKR dalam Barisan Alternatif PAS dan juga BN. Kehadiran kedua-dua parti tersebut dirasakan oleh penduduk sepanjang masa.
Projek kemasyarakatan
Jika pembangkang, khususnya PKR, tidak mampu melaksanakan projek pembangunan bernilai jutaan ringgit, tetapi masih banyak lagi boleh dilakukannya, umpama menggiatkan aktiviti kemasyarakatan. Melalui aktiviti seumpama itu, ia bukan sahaja dapat mendekati rakyat, khususnya golongan remaja, tetapi juga dapat mengaktifkan jawatankuasa cawangan atau bahagian parti itu, sepanjang masa.
Ternyata, pendekatan BN mencurah durian runtuh di Ijok jika dipandang sekali lalu tidak begitu berkesan sangat kerana ia hanya mampu mengekalkan kerusi Ijok dengan tambahan 200 undi sahaja. Ini bermakna, pembangkang masih berpeluang memenangi hari pengundi melalui projek-projek kemasyarakatan berkenaan.
Apa yang perlu dilakukan PKR umpamanya ialah mengenalpasti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan Parlimen yang mahu ditandinginya dan jadikan kawasan-kawasan tersebut sebagai kawasan pilihanraya angkat parti berkenaan.
Dalam hal ini, PAS nampaknya lebih berjaya melalui pendekatan parti itu mendekati rakyat sekurang-kurangnya parti itu adalah PASTI (Pusat Asuhan Tadika Islam). Melalui PASTI, secara tidak langsung, masyarakat dapat melihat kehadiran parti tersebut. Malah, yang menghantar anak-anak mereka ke PASTI bukan semuanya ahli PAS sahaja, tetapi juga penduduk setempat, yang mahu anak-anak mendapat pendidikan agama di situ.
Manakala BN, khususnya Umno, pula mempunyai tadika Kemas. Mungkin PKR juga dapat memikirkan sesuatu seumpama itu. Itu satu contoh sahaja. Pastinya, para pemimpin PKR di semua peringkat dapat memikirkan yang lebih baik lagi. Tapi terimalah hakikat bahawa anda perlu mendekati rakyat sepanjang masa, dan bukan setakat bila ada pilihanraya sahaja.

