Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim, isteri dan Phang mohon batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berusaha untuk membatalkan pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap mereka.

Peguam RSN Rayer mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi di Georgetown semasa prosiding di sana awal hari ini.

"Kami akan membuat permohonan untuk membatalkan pertuduhan tidak lama lagi," kata peguam itu yang bersama-sama S Meharaj bertindak bagi pihak Lim dan Chew.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Phang V Sithambaram pula berkata anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini.

Peguam RSN Rayer.

Kes ketiga-tiga mereka pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen di Butterworth pada 2020 dan telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Georgetown. Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Sept tahun ini untuk sebutan kes.

Pada 11 Ogos 2020, Lim didakwa - atas kapasitinya sebagai ketua menteri negeri ketika itu dan pengerusi Lembaga Perolehan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) - menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan membabitkan RM372,009 untuk isterinya melalui syarikat, Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Pertuduhan mendakwa ini bertujuan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan jemputan untuk mencadangkan petempatan pekerja - di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, dan sebahagian daripada Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan , Pulau Pinang - yang bernilai RM11,610,000.

Ahli parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat ketua menteri, Aras 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Lim dan Phang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Phang didakwa bersubahat dengan Lim melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama.

Chew didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan didakwa menerima RM372,009 daripada sebuah syarikat melalui akaun banknya.

Chew didakwa menerima pindahan RM87,009, RM180,000 dan RM105,000, yang didakwa sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, daripada Excel Property Management & Consultancy, dan yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Lim dan Betty.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, untuk pertuduhan pertama, antara 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 untuk pertuduhan kedua, dan dari 4 Sept 2015 hingga Mac 3, 2016 untuk pertuduhan ketiga.

Ketiga-tiga pertuduhan itu mendakwa semua kesalahan dilakukan di Public Bank Berhad, cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2002 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lim, 62, Chew, 58, dan Phang, 50, telah mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan bagi semua pertuduhan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS