mk-logo
Berita
Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir di Makkah
Diterbitkan:  May 26, 2023 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

GLOBAL | Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi hari ini menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai hari ini, Jumaat sehingga Selasa depan.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

Menurut SPA, angin kencang berdebu turut diramal berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan Masyair di Makkah dan Madinah selain Taif, Maysan, Adham, Al-Khurma, Al-Ardiyat dan beberapa kawasan berhampiran di wilayah sempadan utara.

Direktorat itu menjelaskan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dan angin kencang berdebu akan melanda wilayah Riyadh, Afif, Dawadmi, Al-Quwaiyah, Al-Majma'a, Al-Zulfi, Al-Ghat dan Ramah.

“Kami menasihatkan orang ramai, termasuk jemaah haji dan umrah supaya berhati-hati semasa fenomena hujan lebat dan menjauhi lokasi air hujan terkumpul bagi mengelakkan insiden luar jangka”, menurut direktorat itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS