Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan giat usaha realisasi penubuhan Majlis Media Malaysia - Fahmi

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang giat berusaha untuk merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata usaha itu sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi.

“(Usaha) Ini mungkin melibatkan pembaharuan undang-undang dan kawal selia, serta usaha untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor media,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh hari ini.

Beliau berkata pencapaian membanggakan Malaysia yang berjaya memperbaiki kedudukan dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2023 yang dikeluarkan oleh pertubuhan Reporters Without Borders adalah manifestasi komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjamin kebebasan media bagi para pengamal media di negara ini.

“Namun begitu, suka juga untuk saya ingatkan, kebebasan media bukanlah tiket ataupun lesen untuk menyebarkan maklumat atau berita berunsur fitnah atau tanpa sumber yang sah yang dikhuatiri boleh mengganggu gugat keamanan serta kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Fahmi berkata kebebasan media harus dipraktikkan secara wajar terutama dalam membantu mewujudkan perasaan selamat dalam minda masyarakat.

“Ini penting bagi memastikan negara kita terhindar daripada isu-isu berhubung dengan sensitiviti perkauman, keselamatan, agama, sabotaj ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mendekati semua syarikat dan pengamal media bagi mengetahui perkara yang boleh dilakukan kementeriannya dalam usaha membantu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi petugas dan bekas petugas media.

“Bagi tujuan itu, program tanggungjawab sosial (CSR) iaitu Tabung Kasih@HAWANA dilancarkan untuk menyantuni bekas pengamal media dan wartawan veteran yang uzur serta berdepan kesukaran hidup. Inisiatif ini yang diperkenal kementerian melalui BERNAMA akan menjejaki rakan-rakan wartawan yang memerlukan bantuan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata kekurangan wakil wanita memegang jawatan penting editorial dalam industri media tidak menjadi sebab kurangnya laporan berita berkait dengan hak wanita dan kesaksamaan jantina di negara ini, dan beliau berharap HAWANA 2023 turut membincangkan isu itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS