Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebutan kes SRC RM27 juta terhadap Najib ditetapkan 18 Ogos

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh baru iaitu 18 Ogos ini untuk sebutan bagi kes pengubahan wang haram SRC International berjumlah RM27 juta terhadap Najib Razak.

Ini kerana rayuan bagi permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi peguam diraja UK Jonathan Laidlaw mewakili Najib dalam kes SRC, dijadualkan pada 10 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu hakim K Muniandy berkenaan perkara ini ketika sebutan kes hari ini.

Mohd Ahsrof berkata walaupun Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu telah menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dalam satu kes lain iaitu kes rasuah SRC RM42 juta, rayuan berkenaan Laidlaw masih berjalan.

Kes tersebut melibatkan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Kes yang sedang berjalan ini pula melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.

Tiada bantahan daripada pembelaan

Mohd Ashrof berkata Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Ogos ini untuk mendengar rayuan berkenaan Laidlaw, maka pihaknya meminta satu tarikh lain untuk sebutan kes tersebut.

Ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata walaupun pihaknya tiada bantahan terhadap perkara itu, dia mengingatkan mahkamah bahawa kes tersebut sudah lama tertangguh.

Dia berkata pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta agak terpisah daripada tujuh pertuduhan dalam kes rasuah SRC International RM42 juta.

Katanya lagi, jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Laidlaw, mereka akan memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh pendengaran lebih awal untuk kes itu.

Muniandy kemudian menetapkan 18 Ogos untuk sebutan kes.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS