142 kertas undi hilang: Apa yang telah berlaku?
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok telah berakhir tetapi masih ada senarai panjang persoalan yang menanti jawapan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok telah berakhir tetapi masih ada senarai panjang persoalan yang menanti jawapan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Teratas dalam senarai tersebut ialah mengenai misteri 'kehilangan' 142 kertas undi yang tidak dipulangkan di salah satu daripada lima saluran di pusat pengundian Pekan Berjuntai Bestari Utara.
Ia merupakan hampir 30 peratus daripada 500 kertas undi yang dikeluarkan di saluran keempat di Pekan Berjuntai Bestari Utara itu. Satu lagi kertas undi tidak dipulangkan di Jaya Setia.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa menyifatkan kehilangan kertas undi itu sebagai satu kejadian yang "ganjil, luar biasa dan misteri".
"Jumlahnya banyak sehingga 142 undi. Pasti ada yang tidak kena dan memerlukan siasatan SPR," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wang ditawarkan?
Menurut beliau, satu kertas undi yang tidak dipulangkan di Jaya Setia boleh dianggap sebagai kes terpencil, tetapi kertas undi yang tidak dipulangkan di Pekan Berjuntai Bestari Utara adalah banyak sehingga 142.
"Satu kertas undi tidak dipulangkan (di Jaya Setia) boleh difahami...mungkin tercicir...oleh seorang pengundi warga emas.
"Tetapi jika 142 kertas undi tidak dipulangkan, ia memang ganjil. Niat untuk membawa kertas undi itu keluar tanpa memangkahnya, menunjukkan kemungkinan wang ditawarkan untuk kertas undi tersebut," katanya.
Dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu lalu, calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim ditewaskan calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban dengan majoriti 1,850 undi di tengah-tengah dakwaan berlakunya penyelewengan dan kewujudan pengundi hantu.
Menurut SPR, adalah menjadi satu kesalahan bagi mereka yang mengambil kertas undi tetapi tidak mengundi.
'Kehilangan' 143 kertas undi dianggap yang terbesar dalam sejarah pilihanraya di negara ini.
Menurut SPR lagi, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya dan menghadapi hukuman dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000.
Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor berkata, amalan tidak memulangkan kertas undi memang berlaku dalam setiap pilihanraya umum dan pilihanraya kecil.
Bagaimanapun, Sivarasa berkata, SPR sebagai badan bebas yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pilihanraya tidak boleh mengenepikannya begitu sahaja.
"Pegawai SPR yang bertugas mesti memerhati dan memastikan pengundi memasukkan kertas undi mereka dalam kotak undi, tetapi SPR telah gagal berbuat demikian," tambah beliau.
PKR pula berkata, parti itu akan mencabar keputusan pilihanraya kecil Ijok tetapi akan mengumpul terlebih dahulu segala bukti-bukti yang diperlukan.
Dakwaan lain berhubung proses pengundian di Ijok termasuk:
1) Percanggahan keputusan pengundian bagi Pekan Ijok
Sebelum pengumuman rasmi dibuat bahawa BN menang pada jam 8.45 malam, pegawai pengurus pilihanraya Haris Kasim mengumumkan keputusan bagi setiap saluran pengundian.
Menurutnya, PKR mendapat 135, 218 dan 271 undi bagi tiga saluran pengundian di Pekan Ijok manakala BN pula memperolehi 146, 206 dan 253 undi bagi saluran yang sama.
Ini bermakna PKR menang di kawasan majoriti Cina di Pekan Ijok dengan mendapat 624 undi manakala BN mendapat 605 undi.
Bagaimanapun, keputusan pengundian yang diedarkan oleh SPR kepada pihak media sejam kemudiannya menunjukkan undi yang diterima oleh PKR bagi saluran ketiga di Pekan Ijok itu kurang 40 undi dari 271 kepada 231. Tiada sebarang penjelasan diberikan.
Ekoran perubahan tersebut, undi yang diperolehi PKR berkurangan kepada 584 dan BN menang di Pekan Ijok.
2) Kertas undi diambil oleh orang lain
Seorang pengundi berusia 56 tahun, Hiew Yoke Chau memberitahu malaysiakini bahawa ketika dia datang untuk mengundi pada kira-kira jam 2 petang, dia diberitahu oleh ejen mengundi BN dan PKR bahawa kertas undinya telah diambil oleh orang lain.
Bagaimanapun, sejam kemudiannya, seorang pegawai SPR membenarkannya mengundi selepas dia menandatangan surat angkat sumpah menyatakan dia belum lagi mengundi.
Menurut PKR, terdapat dua kes seumpama itu berlaku di Pekan Ijok.
3) Kertas undi dijual
Ada dakwaan wujudnya percubaan 'menjual' kertas undi. Ia didakwa bemula dengan pengundi membawa keluar secara rahsia kertas undi dan memberinya kepada ejen, yang kemudiannya memangkah mengikut parti pilihan.
Kertas undi tersebut kemudiannya diberikan kepada pengundi lain untuk dimasukkan ke dalam peti undi dan dia membawa keluar kertas undinya. Ianya kemudiannya diberikan kepada ejen, dan proses itu dilakukan berulangkali.
Pengundi terbabit dikatakan mendapat bayaran daripada 'pembeli' kertas undinya yang masih kosong.
4) Nama pengundi dibuang dari senarai pemilih
Terdapat kes-kes tidak rasmi pengundi mengadu nama mereka telah dikeluarkan dari senarai pemilih walaupun telah mengundi di tempat yang sama sebelum ini, walaupun tidak pernah menukar alamat mereka.
Malaysiakini menerima enam aduan seumpama itu di Kampung Ijok, Simpang Ijok dan Bukit Badong.
5) Pengundi hantu
PKR mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 'lima pengundi yang telah disahkan meninggal dunia' telah mengundi Sabtu lalu. Selain itu, parti pembangkang itu juga mempersoalkan kehadiran pengundi 'yang mencurigakan', seperti seorang pengundi yang berwajah Pakistan yang mengundi di Kampung Ijok.
Beberapa kes yang sama turut berlaku di Jaya Setia.
PKR juga menahan dua bas yang membawa kira-kira 80 penumpang, sebahagian besarnya wanita, pada hari pengundian selepas menerima maklumat bahawa mereka mempunyai dua kad pengenalan dan pengundi hantu yang dibawa masuk dari tempat lain.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa penumpang bas tersebut adalah penyokong BN dari Perlis.
PKR juga mendakwa terdapat dua buah lagi yang disyaki membawa pengundi hantu. Berita asal

