Umno tetap menutup pintunya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam.

"Ada cakap-cakap kononnya kawan-kawannya (kawan-kawan Anwar) dalam Umno akan melobi untuk dia masuk balik (ke dalam Umno)," katanya selepas mesyuarat MT tersebut.

Radzi berkata, Perlembagaan Umno yang dipinda pada 2002 menyatakan dengan jelas bahawa sesiapa yang menentang parti itu tidak akan diterima balik selama-lamanya.

Oleh itu, Bernama melaporkan Radzi berkata, Umno tidak akan menerima kemasukan semula Anwar ke dalam parti itu.

Menurutnya lagi, keputusan itu sudahpun dibuat sebelum ini oleh Umno dan ia masih tidak berubah sehingga hari ini.

Kes Ku Li

"Kini ada ura-ura kononnya Anwar akan kembali menyertai Umno. Saya ingin menyatakan bahawa Umno tidak akan menerima Anwar, dia tidak akan diterima balik ke dalam Umno," katanya.

Ditanya kenapa Umno menerima semula kemasukan Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga pernah menentang parti semasa mengetuai Parti Melayu Semangat 46 (S46), Radzi berkata, keadaan itu berbeza kerana perlembagaan parti belum dipinda pada ketika itu.

Tengku Razaleigh menubuhkan S46 selepas mahkamah mengisytiharkan Umno haram ekoran perebutan sengit merebut jawatan tinggi parti itu antara 'Team A' pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 'Team B' pimpinan Tengku Razaleigh.

Radzi adalah antara pemimpin Umno yang bersama 'Team B'. Ekoran itu, Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden tetapi kalah tipis.

Berikutan itu, Tengku Razaleigh menubuhkan S46, manakala Dr Mahathir menubuhkan Umno baru sekarang.