Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Swatch sanggah menteri: ‘Jam dirampas tiada perkataan LGBT’
Diterbitkan:  May 30, 2023 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Swatch Malaysia menolak kenyataan menteri bahawa jam tangan mereka yang dirampas kerajaan awal bulan ini tertera tulisan LGBTQ, yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.

Syarikat jam terkemuka dunia itu sebaliknya menjelaskan tulisan LGBT hanya tertera pada jam yang dirampas pada tahun sebelumnya.

“Berkaitan dengan berita yang baru diterbitkan yang menyatakan bahawa semua jam tangan Swatch yang dirampas mempunyai perkataan LGBT, Swatch Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. 

“Jam tangan yang berkaitan adalah daripada koleksi tahun ini dan tidak mempunyai perkataan LGBT di dial, tali atau case

“Satu-satunya jam tangan yang dirampas dengan perkataan LGBT adalah daripada koleksi tahun lepas,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata huruf "LGBTQ" jelas tertera di atas permukaan jarum jam tangan Swatch yang dirampas oleh kementeriannya awal bulan ini.

Katanya serupa turut tidak dijual di negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan sensitiviti agama.

Penafian Swatch hari ini adalah yang kedua selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memeprtahankan rampasan itu, "tersalah maklumat".

Serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi jam warna-warni Pride dibuat di seluruh negara pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang juga dirujuk sebagai LGBTQ,

yang menyokong hak golongan itu.

Swatch mengancam tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.

Lihat Komen
ADS