Keluarga mendiang Kee Kok Thiam menggesa orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi mengenai kematian individu yang didakwa menjadi sekutu orang buruan polis, Jho Low, itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, firma guaman yang mewakili keluarga si mati berkata, Kee meninggal dunia di hospital pada Isnin selepas dia diserang angin ahmar secara tiba-tiba.

"Rujukan dibuat kepada laporan media mengenai kematian Encik Kee dan keadaannya.

“Dia meninggal dunia pada 29 Mei 2023 di hospital akibat strok kuat secara tiba-tiba.

“Kami menggesa semua pihak untuk tidak melayan sebarang spekulasi mengenai peristiwa malang ini dan memberi ruang kepada keluarga untuk bersedih atas pemergiannya,” kata firma Valen, Oh and Partners.

Berita mengenai kematian Kee muncul semalam selepas obituari dan butiran untuk upacara pengebumiannya disiarkan dalam sebuah akhbar.

Malaysiakini kemudian berjaya mendapat pengesahan daripada sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa orang yang dipaparkan dalam obituari itu adalah orang sama yang ditahan mereka sekembalinya di Malaysia baru-baru ini.

Sebelum ini Kee berada di luar negara sejak lima tahun lalu.

The Malay Mail pula semalam melaporkan Kee dipercayai meninggal dunia akibat sakit mengejut.

Sebelum ini dilaporkan Kee dihantar pulang dari Macau kerana berada di situ melebihi had visanya.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL kira-kira jam 3 pagi pada 3 Mei dan diarahkan untuk pergi ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi pada hari yang sama.

Al Jazeera melaporkan semalam Kee memberitahu SPRM dia bertemu dengan Jho Low dan buruan dalam skandal 1MDB lain - termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, dan Nik Faisal Ariff Kamil - di Macau.

Kee juga dilaporkan berkata Low telah mengarahkannya "untuk tidak kembali ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB".

Laporan itu menyebut Kee dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan "buat masa ini".

[Baca berita penuh]