Sejumlah 30 pekerja ladang dari Bestari Jaya, Selangor, membuat bantahan di luar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.

Diiringi Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, mereka mengangkat sepanduk mengkritik menteri kerana dilihat tidak serius menyelesaikan masalah mereka, serta menggesa diberikan maklumat sewajarnya berkenaan projek perumahan yang dijanjikan kepada mereka.

Mereka merujuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tanjong Karang 1 yang dicadangkan kepada mereka pada 2018 kepada Noh Omar, yang merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa itu.

Satu memorandum turut diserahkan kepada menteri semasa, Nga Kor Ming, berkenaan perkara itu.

Mereka antara lain kecewa dengan Nga kerana dilihat tidak memberi jawapan secara bersungguh-sungguh ketika sidang Parlimen Mac lalu, apabila ditanya jika KPKT telah menyediakan peruntukan untuk projek itu.

"Dia (Nga) berkata kementerian telah menyerahkan permohonan untuk PPR Tanjong Karang 1, Bestari Jaya kepada Kementerian Ekonomi.

"Soalan berkenaan peruntukan tetapi jawapan menteri berkenaan permohonan PPR yang bukan perkara baru.

"Kami ingin menteri untuk beri tumpuan kepada dua perkara; bila peruntukan akan diluluskan dan bila pembinaan akan bermula?" kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan memorandum diterima seorang pegawai Nga hari ini.

Pekerja ladang ini turut menegaskan mereka telah membangkitkan isu penangguhan pembinaan sejak 2019.

Mereka berkata telah berhubung dengan syarikat Berjaya Corporation Bhd - yang dikatakan sebagai syarikat pemaju projek itu, bekas menteri Zuraida Kamaruddin, Kementerian Kewangan dan juga Unit Perancang Ekonomi.

"Kami berjaya dapatkan tanah dan selesaikan isu pembinaan. Satu-satunya isu yang belum selesai adalah pendanaan untuk membina perumahan ini.

"Jawatankuasa kami juga sanggup untuk bertemu menteri bagi menjelaskan isu ini yang sudah berlanjutan sekian lama," kata mereka lagi.

[Baca berita asal]