Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedutaan China: Kapal disyaki curi bangkai kapal perang diupah syarikat M'sia
Diterbitkan:  May 31, 2023 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Kedutaan China di Malaysia telah bertindak balas terhadap laporan terbaru mengenai kapal China yang disyaki terlibat operasi mencuri bangkai kapal perang lama.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedutaan China berkata bahawa kapal berkenaan diupah oleh syarikat Malaysia.

“Berdasarkan maklumat yang ada, kapal yang beroperasi di perairan Malaysia itu adalah diupah syarikat tempatan Malaysia.

“Kami berharap pihak Malaysia dapat mengendalikan kes ini dengan adil mengikut undang-undang, bersungguh-sungguh melindungi keselamatan dan hak serta kepentingan warga China dan melaporkan perkembangan siasatan tepat pada masanya,” kata jurucakap kedutaan itu.

Pada Isnin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata peluru meriam dipercayai dari Perang Dunia Keuda telah ditemui pada kapal pengangkut pukal yang didaftarkan di China.

APMM berkata, sebuah kapal yang berdaftar di Fuzhou, China dan membawa 32 anak kapal gagal mengemukakan permit berlabuh semasa pemeriksaan rutin di perairan negeri Johor pada Ahad.

Ia ditahan kerana berlabuh di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Pihak berkuasa juga menemui besi buruk di atas kapal itu.

Difahamkan, peluru itu boleh dikaitkan dengan rampasan berasingan beberapa artileri era Perang Dunia Kedua yang tidak meletup oleh polis di jeti Johor minggu lepas.

Ini berikutan laporan bahawa terdapat operasi yang menyasarkan dua bangkai kapal Perang Dunia Kedua British di luar pantai Malaysia - HMS Prince of Wales dan HMS Repulse - yang ditenggelamkan oleh torpedo Jepun pada 1941, hanya tiga hari selepas serangan Jepun ke atas Pearl Harbor di Hawaii.

Lihat Komen
ADS