Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Tiada unsur jenayah dalam kematian sekutu Jho Low
Diterbitkan:  May 31, 2023 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Polis tidak menemui unsur jenayah dalam kematian Kee Kok Thiam, yang dikatakan sekutu Low Taek Jho (Jho Low) dan suspek kes 1MDB.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa Kee meninggal dunia akibat tekanan darah tinggi di Hospital Sungai Buloh pada 29 Mei lalu.

"Polis klasifikasikan kes ini sebagai kematian biasa di mana hasil siasatan awal dapati tiada unsur jenayah yang dikaitkan dengan kematian ini,” katanya dalam video yang diedarkan kepada media hari ini.

Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko utama untuk strok.

Sebelum ini, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa Kee disyaki telah menggelapkan wang daripada 1MDB dan SRC International, melalui akaun syarikat bernama Wright Shaw Limited.

Saksi di perbicaraan berkaitan 1MDB juga telah memberi keterangan mengenai dakwaan peranan Kee dalam skandal itu.

Februari lalu, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Kee adalah antara orang yang mendepositkan wang untuk memastikan akaun perdana menteri ketika itu Najib Razak ditambah dan menghalang ceknya daripada ditolak.

Kee dilaporkan dihantar pulang dari Macau pada 3 Mei kerana tinggal melebihi tarikh visanya, dan diarahkan untuk hadir ke ibu pejabat SPRM pada hari yang sama. Dia telah berada di luar negara selama lima tahun.

Dia kemudiannya ditangkap dan rumahnya digeledah, tetapi dibebaskan tanpa tuduhan terhadapnya.

Menurut Al Jazeera, Kee telah memberitahu SPRM bahawa dia telah bertemu dengan beberapa suspek 1MDB di Macau iaitu Low, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Lihat Komen
ADS