Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mengetahui bekas pemimpin pembangkang Kemboja, Sam Rainsy, berada di Malaysia baru-baru ini.

Menurut Wisma Putra, Anwar tidak dimaklumkan mengenai keberadaan ahli politik berusia 74 tahun itu sehinggalah dia meninggalkan negara ini semalam.

"Mengenai keberadaan Sam Rainsy, bekas ketua pembangkang Kemboja di Malaysia, Kementerian Luar ingin menjelaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dimaklumkan akan kehadiran Sam Rainsy di negara ini," kata Wisma Putra melalui kenyataan ringkas semalam.

Ia menyusul selepas media Kemboja melaporkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, menghargai langkah Putrajaya serta Anwar selaku rakan sejawatnya kerana menghantar pulang Rainsy.

Akhbar Khmer Times melaporkan Rainsy dihantar pulang dan dia bersama rombongannya juga tidak dibenarkan mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Laporan itu yang memetik Hun Sen mendakwa Rainsy memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis dan menaiki jet peribadi, kononnya bagi mengelak daripada disedari pihak berkuasa.

Menurut Wisma Putra lagi, Rainsy juga tidak terlibat dalam mana-mana program terbuka di negara ini.

"Sam Rainsy telah meninggalkan Malaysia pada pagi hari ini (semalam) dan tiada acara awam diadakan sepanjang keberadaan beliau di sini," katanya.

Hun Sen, 70, nmerupakan bekas komander tentera dan menjadi perdana menteri sejak 1998.

Baru-baru ini kerajaannya menutup media bebas terkemuka, Voice Of Democracy, ekoran daripada isu yang timbul selepas ia menyiarkan laporan mengenai anak Hun Sen.

Rainsy pula hidup dalam buangan di Paris sejak 2015 namun mengumumkan rancangannya untuk kembali ke Kemboja pada 2019 bagi menyatukan pembangkang untuk menentang pemerintahan Hun Sen.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila Phnom Penh dilaporkan mengancam syarikat penerbangan agar tidak membenarkan Rainsy menaiki pesawat mereka atau berdepan dengan dakwaan bersubahat dengan tokoh terbabit bagi merampas kuasa.

Thailand turut menolak kemasukan Rainsy ke negara itu atas permintaan Kemboja.