PRN: Bersih gesa SPR segera buka permohonan jadi pengundi pos
Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera membuka permohonan untuk menjadi pengundi pos bagi enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Kata Bersih, ia akan membolehkan lebih ramai pengundi memohon dan berkemungkinan meningkatkan kadar keluar mengundi untuk PRN.
"SPR tidak semestinya perlu menunggu sehingga semua negeri-negeri tersebut membubarkan DUN masing-masing sebelum membuka permohonan kepada pengundi pos terutamanya pengundi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara untuk memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti.
"Mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat daripada 7,979 pada PRU14 ke 48,109 pada PRU15, peningkatan sebanyak 600 peratus," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.
Bersih berkata SPR mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk memastikan setiap rakyat yang layak mengundi diberi akses mengundi yang munasabah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
Kumpulan itu juga menggesa kemudahan pengundian pos diperluaskan kepada kakitangan kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta, seperti hospital swasta, yang akan bertugas pada hari pengundian.
"Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali.
"Pada PRU15, pasukan Pemantau Bersih telah menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka telah memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan rayakerana terpaksa bertugas," katanya.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tidak lama lagi ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/c4742c8ca90526542790b193206c6a91.jpg)
