Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hubungan Anwar, Syed Mokhtar mesra bagai 'abang dengan adik'

Dianggap sebagai sekutu dekat dengan Dr Mahathir Mohamad, hari ini tokoh perniagaan terkenal dan berpengaruh, Syed Mokhtar Al-Bukhary, muncul dalam suasana mesra bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia menjadi lebih menarik perhatian apabila hubungan mereka selama ini dianggap seakrab abang dan adik.

Penampilan istimewa Anwar bersama Syed Mokhtar itu berlangsung semasa majlis perasmian pameran Oriental Paintings di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Semasa menyampaikan ucapan, tokoh perniagaan yang merupakan antara individu terkaya di Malaysia itu beberapa kali merujuk Anwar sebagai "abang".

Kata Syed Mokhtar, Anwar menjadi “abang” buatnya sejak bertahun-tahun lalu dan membantu menyelesaikan pelbagai isu untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk didiami.

“Jika tidak kerana abang, tidak akan ada muzium, tak ada Albukhary yang menjadi tunggak kepada Yayasan Albukhary,” katanya.

Anwar pula ketika menyampaikan ucapan perasmian menganggap Syed Mokhtar sebagai tokoh yang sangat baik hati walaupun berdepan dengan beberapa tindakan keras dari kerajaan.

"Dia hanya membuat rujukan yang baik kepada abangnya walaupun saya sangat keras dengan dia, (misalnya) dalam isu Bernas.

"Saya berkeras tidak semestinya (hanya kerana) berhubung (isu) Bernas, tetapi keadaan kemiskinan yang dihadapi oleh pesawah. Kadang-kadang disebut sebagai 'tanaman kemiskinan' juga 'tanaman keselamatan'.

"Jadi, saya hanya menelefonnya (Syed Mokhtar) sehari selepas saya mengambil alih (jawatan perdana menteri), saya berkata 'abang' akan mencadangkan Bernas, (memberi sumbangan) yang menunjukkan bahawa kami kerajaan Madani membantu petani.

"Dia kata OK. Bulan Nov (saya minta), bulan Dis dia janji (bantuan) RM10 juta.

"Tahun 2023, dijanjikan RM50 juta (lagi) untuk diagihkan kepada pesawah miskin.

"Jadi, minat dia bukan sahaja kepada seni, tetapi juga membantu orang miskin.

"Saya mampu buat (dapatkan bantuan RM60 juta daripada Syed Mokhtar) sebab dia 'adik' saya, saya mengetahui kecenderungan dia," katanya.

Untuk rekod, Syed Mokhtar yang juga pengerusi Yayasan Albukhary sering dirujuk sebagai tokoh perniagaan yang selalu rapat bekas Mahathir.

Pada masa sama Mahathir pula lebih sering berseteru dengan Anwar dalam politik, kecuali sebelum 1998 dan menjelang PRU ke-14 pada 2018.

Dalam ucapannya juga Anwar sempat mengusik Syed Mokhtar yang lebih dikenali sebagai ahli perniagaan berbanding tokoh yang mahir berucap.

"Saya tahu dia bukan penceramah yang baik, kerana dia (lebih mahir) adalah mencari wang, dan saya dikenali seorang pengucap awam yang baik," katanya disambut ketawa orang ramai.

Anwar juga menjelaskan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetahui hubungan dia dan Syed Mokhtar memang pernah berdepan dengan kesukaran pada keadaan tertentu.

"Jadi, terima kasih atas bakti dan sumbangan anda kepada negara ini," kata Anwar kepada Syed Mokhtar yang tersenyum dengan pujian tersebut.

Turut hadir di majlis perasmian itu ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dan Wan Azizah.

Lihat Komen
ADS