Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjualan tanah di T'ganu cuma isu kecil, boleh difahami rakyat - Samsuri
Diterbitkan:  Jun 3, 2023 5:25 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap penjualan tanah kerajaan negeri kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bukanlah satu isu.

Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan segala prosedur yang ditetapkan dipatuhi semasa proses jual beli itu dilakukan.

Sambil mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan dan disensasikan pihak tertentu kerana pilihan raya negeri (PRN) semakin mendekat Ahmad Samsuri berkata, dia tidak faham mengapa ia dijasikan isu oleh pihak yang berkenaan.

"Saya pun tidak faham kenapa itu menjadi isu, proses yang dijalankan dalam isu itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.

"Tapi biasalah zaman pilihan raya macam-macam benda akan keluar. Cacing dalam perut bumi pun akan keluar," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Samsuri sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Terdahulu tular laporan mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran.

Tanah itu didakwa bernilai RM29.3 juta tetapi dijual kepada Khairunnisa' dengan hanya RM500,000.

Berdasarkan laporan tular berserta dokumen - yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas - Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Feb 2019 menyatakan tidak memberi pertimbangan kepada permohonan Khairunnisa'.

Bersatu tetap dapat kerusi

Hal itu kerana tanah tersebut mahu disimpan untuk tujuan kepentingan awam mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia diwartakan diwartakan pada 28 Apr 2011.

Untuk rekod, tanah tersebut pernah diberikan kepada Koperasi Insaf Terengganu Berhad (Koinsaf) milik pemimpin PAS negeri itu pada 2003. Ketika itu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menjadi menteri besar.

Koinsaf ditubuh pada 29 Dis 2001 dan dipengerusikan oleh Bendahari PAS Kemaman, Roslin Abdul Rahman. Setiausaha politik Abdul Hadi Awang ketika itu, Hussain Ismail, pula merupakan ahli lembaga pengarahnya.

Sesuai dengan peraturan yang dipatuhi, Ahmad Samsuri meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak yang membuat pendedahan tersebut.

"Kita minta semua pihak membuat penilaian seadil-adilnya berdasarkan fakta, berdasaran peruntukan peraturan," katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai nilai pasaran tanah berkenaan, Ahmad Samsuri berkata dia tidak dapat memberi perincian kepada media mengenai perkara itu.

"Saya tak boleh bagi (butiran) lengkap... pada saya itu isu kecil isu yang sebenarnya difahami oleh masyarakat, tapi biasalah zaman nak pilihan raya macam-macam keluar," katanya lagi.

Sementara itu Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata Besatu tetap akan diberi kerusi untuk bertanding di Terengganu dan Kelantan dalam PRN akan datang.

"Insya-Allah ada kerusi untuk rakan Bersatu tanding di Terengganu..insya-Allah kelantan pun akan beri peluang .

"Cuma kita belum lagi tamatkan perbincangan kerusi.. insya-Allah dua hari lagi kita akan duduk kembali," katanya.

Lihat Komen
ADS