PAS Selangor mungkin tinggal satu kerusi saja selepas PRU14, namun seorang pemimpinnya yakin pengalaman sedekad parti itu bersama kerajaan negeri itu dapat membantu PN untuk menambah baik dasar kerajaan yang sedia ada.
The Malaysian Insight memetik Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sebagai berkata, parti itu ada pengalaman dalam merangka dasar kerajaan kerana pernah berada dalam kerajaan pimpinan PKR selama 10 tahun.
“Kita akan teruskan apa yang telah dimulakan sebelum ini, untuk memasyarakatkan ekonomi Selangor dan mengurangkan jurang masyarakat antara di bandar dan luar bandar," katanya.
Menerusi gabungan Pakatan Rakyat, PAS bersama-sama PKR dan DAP pada 2008 berjaya menumbangkan BN buat kali pertama di Selangor dan membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Allahyarham Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Pakatan itu kekal sehingga 2015 selepas PAS kemudiannya mengisytiharkan tidak lagi bekerjasama dengan DAP.
Pesuruhjaya PAS Selangor ketika itu Iskandar Abdul Samad, yang juga salah seorang daripada tiga exco PAS negeri di bawah pentadbiran Azmin Ali, bagaimanapun berkata parti itu akan kekal sebagai sebahagian daripada pentadbiran sehingga PRU 2018.
Dalam PRU itu, PKR, DAP dan parti serpihan PAS iaitu Amanah mengukuhkan kedudukan di Selangor apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN.

Menjelang PRN akan datang sebagai anggota komponen PN, Roslan yakin rakyat Selangor tetap akrab dengan PAS.
“Orang dah ada pengalaman perkhidmatan PAS jadi tidak mustahil mereka akan balik semula (mengundi PAS),” katanya.
Oleh itu, Roslan berkata PN akan memberi tumpuan kepada pengundi Melayu yang merupakan majoriti penduduk Selangor, dengan rancangan untuk melancarkan program meningkatkan taraf sosioekonomi golongan terpinggir, termasuk orang Melayu.
Selangor di bawah menteri besar Amirudin Shari sejak 2018 telah memperkenalan lebih 40 program kebajikan di bawah Iltizam Selangor Penyayang.
Kerajaan Selangor juga telah memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk golongan miskin dan terpinggir.
Fokus anak muda
Sementara itu, The Malaysian Insight turut memetik Setiausaha Bersatu Selangor Azman Yaakob yang berkata PN akan memberi tumpuan kepada golongan muda, selain isu keterjaminan makanan dan ekonomi.
“Kita akan beri tumpuan lebih kepada anak muda ini sebagai pengundi yang mampu beri perubahan masa akan datang.
“Merekalah yang perlu diambil tahu, dijaga, khususnya tentang isu terkait sukan, aktiviti rekreasi, peluang pekerjaan, dan ekonomi yang lebih baik," katanya.
Pada masa sama, dia berkata PN tidak akan melupakan isu rumah mampu milik dan isu-isu-isu lain yang dekat dengan kehidupan rakyat.
PN dijangka memulakan kempen di Selangor malam ini dengan ceramah di Tanjong Karang - kubu kuat bekas pemimpin Umno Noh Omar dan salah satu daripada beberapa kawasan majoriti Melayu yang dijangka berdepan pertembungan sengit dalam PRN nanti.
