Fuziah minta Siti Zailah berhati-hati buat dakwaan
PARLIMEN | Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa berbahas dan tidak membuat kenyataan umum sehingga boleh mengelirukan banyak pihak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata Siti Zailah sepatutnya bercakap berdasarkan fakta semasa membangkitkan sesuatu isu.
Menjawab isu kenaikan harga barang-barang, Fuziah berkata Siti Zailah membuat dakwaan terlalu umum berhubung kos sara hidup rakyat sedangkan hakikat yang berlaku tidak menunjukkan begitu.
“Saya pohon kepada yang berhormat Rantau Panjang (Siti Zailah) supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan perkataan kerana perkataan yang digunakan ialah 'kenaikkan harga barang yang semakin melampau'.
“Sebagai ahli ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini kita tidak seharusnya membuat kenyataan yang terlalu umum begitu, kerana ia boleh mengelirukan orang di luar sana," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjelaskan hal itu pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Fuziah berkata data dalam indeks harga pengguna bagi kumpulan makanan dan minuman, bagi Mac dan April menunjukkan peningkatan perlahan.
"Maksudnya ada pengurangan pada April berbanding Mac," katanya.
Justeru menurut Fuziah, dakwaan kononnya berlaku peningkatan melampau seperti dibuat Siti Zailah adalah tidak benar.

Terdahulu Siti Zailah membangkitkan isu kos sara hidup yang didakwanya kian menekan rakyat antara lain kerana kenaikan harga barangan pengguna, penurunan nilai ringgit dan pertambahan kadar dasar semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara,
Menjelaskan lebih lanjut, Fuziah berkata untuk memastikan harga barang tetap terkawal kerajaan bertindak mengekang kegiatan pencatutan selain membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.
Turut menjadi mekanisme kawalan ialah 11 barang yang dikawal harganya, selain pemberian subsidi ke atas bahan tertentu.
Tambah Fuziah, setakat ini terdapat 2,922 premis yang menawarkan Menu Rahmah selain kelulusan RM1 juta untuk melaksanakan Jualan Rahmah di semua 222 kawasan parlimen dalam negara, dengan kekerapan dua kali sebulan.
Bagaimanapun, penjelasan Fuziah itu disifatkan sebagai tidak realistik oleh Siti Zailah kerana didakwa tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Kita lihat apa yang berlaku keluhan rakyat diseluruh negara berdepan dengan kenaikkan harga barang," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/8599985c4ba5234991d8498185f4b891.jpg)
