Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan selamat maju jaya buat beberapa bekas pemimpin parti itu yang dijangka menyertai parti-parti lain sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Namun pada masa yang sama, dia mengingatkan mereka bahawa Umno sedang menyusun gerak kerja bersama dengan sekutu-sekutunya dalam kerajaan perpaduan bukan sekadar mengekalkan kerusi Umno tetapi juga untuk menawannya.

"Ada soalan yang dituju kepada saya tentang 10 'warlords' daripada Umno yang mungkin ini pertama kali mereka tidak dapat menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung Umno (PAU).

"Saya dimaklumkan mereka berhasrat untuk menyertai parti-parti lain. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Walaupun tidak menyebut nama, difahamkan Timbalan Perdana Menteri merujuk kepada beberapa pemimpin antaranya Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang dipecat daripada Umno sebelum ini.

“Bagi PRN enam negeri (akan datang) ini kita akan menyusun gerak kerja kita bersama-sama dengan rakan-rakan di dalam kerajaan perpaduan.

“Untuk bukan hanya regain (menawan) tetapi yang penting, matlamat utama retain (mengekalkan) kerusi-kerusi yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mendakwa sekurang-kurangnya 10 'warlord' Umno dijangka menyertai gabungan itu tidak lama lagi.

Khairy pula berkata Umno akan "bungkus" pada pilihan raya di enam negeri akan datang.

Dia membuat andaian itu sebagai menjawab Zahid dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki yang secara sinis menjemput bekas ahli parti untuk menghadiri PAU minggu ini.

Negeri-negeri yang DUN mereka akan dibubarkan pada penghujung bulan ini adalah Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui PN dan Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan yang ditadbir oleh kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut Zahid berkata, Umno pernah melalui tindakan beberapa pemimpinnya yang meninggalkan parti tetapi akhirnya tetap mendapat sokongan.

“Telah beberapa keadaan itu telah berlaku, insya-Allah Umno tetap Umno dan rakyat khususnya orang Melayu dan Islam akan terus menyokong Umno.

“Tetapi kita mesti oleh melampiaskan soal fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang agak terkesan pada PRU.

“Jadi insya-Allah kita ada pimpinan baru, cara kita bergerak itu berbeza pada waktu sebelum ini,” katanya lagi.