PAS menganggap tindakan pihak berkuasa ke atas salah seorang pemimpin mereka sebagai "episod hitam" dalam amalan demokrasi negara, selain bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara.

Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin berkata Muhammad Sanusi Md Nor hanya bersuara mengenai kedudukan Pulau Pinang berdasarkan "fakta sejarah".

Katanya apabila suatu pihak membayar pajakan tanah kepada pihak yang lain, ia membuktikan tanah tersebut bukan milik si pembayar pajak.

Mengakui pihak berkuasa berhak menjalankan siasatan ke atas menteri besar Kedah itu, Khairil Nizam mendakwa, langkah kerajaan sekarang menunjukkan mereka takut kepada isu tersebut.

"Jelas tindakan siasatan ke atas menteri besar Kedah ini satu lagi episod hitam dalam sejarah demokrasi negara, apatah lagi ketika kerajaan PH-Umno melaungkan kononnya (mempertahankan) kebebasan bersuara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia yang juga ahli parlimen Jerantut turut memetik nama Dr Mahathir Mohamad sebagai hujah menyokong kenyataan dibuat Sanusi mengenai kedudukan Kedan dan Pulau Pinang.

"Kenyataan ini juga dijelaskan oleh bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Pada 29 Mei lalu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN dilaporkan berkata tiada sempadan yang memisahkan Kedah dan Pulau Pinang, sebaliknya hanya ada untuk Perak dan Perlis.

Hal itu kerana, kata Sanusi, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah.

Menafikan dakwaan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 6 Jun berkatak kerajaan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan wajar diambil ke atas Sanusi.

Bercakap di Dewan Rakyat Anwar berkata status Pulau Pinang sebagai antara negeri dalam Malaysia sudah dimuktamadkan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Hal itu juga, katanya, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semalam Bukit Aman sudah mengambil keterangan daripada Sanusi ekoran beberapa laporan polis yang dibuat ke atasnya.

Khairil Nizam berkata PAS kesan dengan tindakan diambil kerajaan kerana fakta yang dikemukakan Sanusi adalah berdasarkan "fakta sejarah dalam pengetahuan beliau".

Isu itu juga, dakwa PAS, tidak menggugat ketenteraman awam seperti penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

"Kami berharap pihak berkuasa telus dalam siasatan dan melihat segala aspek termasuk fakta sejarah yang bukan rahsia lagi," katanya.