'Kegagalan' Muhammad Sanusi Md Nor bertindak segera terhadap laporan portal berita FMT menunjukkan Menteri Besar Kedah benar-benar membuat kenyataan mahu perlembagaan negara dipinda, kata Lim Guan Eng.

Mengulas mengenai kontroversi itu, Lim berkata selepas tujuh hari laporan tersebut disiarkan, yang dicetuskan pemimpin PAS-PN terbabit tidak boleh membuat penafian begitu saja sambil cuba menegakkan benang yang basah.

"Menteri Besar Kedah tidak sepatutnya cuba menyalahkan FMT atas dakwaan salah lapor setelah menafikan yang beliau menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk (mendapatkan) semula Pulau Pinang," katanya.

Lim yang juga pengerusi DAP kebangsaan mendakwa sikap Sanusi menafikan dia ada membuat kenyataan tersebut sambil menyalahkan media massa menunjukkan sikap sebenar ahli politik terbabit.

Sebagai pemimpin, kata Lim, Sanusi sepatutnya berlaku jujur, berani serta memiliki keyakinan politik dengan bertanggungjawab atas apa yang disebutkannya.

"Jika FMT tersalah lapor dan tersalah petik, Sanusi sepatutnya menghubungi FMT segera dan meminta penarikan balik dan pembetulan laporan berita itu pada 31 Mei lalu.

"Kenapa perlu dibangkitkan sekarang iaitu tujuh hari kemudian, dan selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh polis mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998?" tanya Lim lagi.

Ahli parlimen Bagan itu juga mendakwa, wartawan yang memetik kenyataan Sanusi diyakini sudah mendapatkan semua bukti sebelum laporan itu disiapkan.

Justeru kata Lim, Sanusi sepatutnya berani mengakui apa yang disebutkan kepada wartawan terbabit dan tidak mengelak darpada bertanggungjawab.

Tambah Lim, dia juga tidak ada membuat laporan polis ke atas Sanusi seperti didakwa menteri besar Kedah tersebut.

"Itu adalah tidak benar. Laporan polis bukan saya yang buat tetapi oleh wakil rakyat Pulau Pinang lain dan rakyat biasa yang marah kepada Sanusi kerana mahu meminda Perlembagaan Persekutuan," katanya.