LFL bidas SPRM, dakwa tak benarkan peguam hadir ketika soal siasat suspek
Lawyers for Liberty (LFL) membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa tidak membenarkan peguam hadir semasa soal siasat suspek.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata mereka telah menerima beberapa aduan mengenai penafian perwakilan undang-undang oleh SPRM kepada mereka yang dipanggil untuk disoal siasat.
Menurut pengadu, peguam diberitahu bahawa mereka sendiri perlu memberi kenyataan jika mereka berkeras untuk menemani anak guam mereka semasa disoal siasat.
“Ini jelas cubaan jahat pihak berkuasa untuk mengheret peguam sebagai sebahagian daripada siasatan.
“Pegawai SPRM mempunyai peluang untuk memberitahu peguam/suspek bahawa ia akan mewujudkan ‘konflik kepentingan’ yang akan menyebabkan peguam tidak dapat mewakili anak guam mereka dalam kes itu,” kata Zaid Malek dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hak diwakili peguam yang dilindungi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dicabuli oleh tindakan ugutan ini.
Zaid mendakwa SPRM mengamalkan pilih kasih untuk menghalang perwakilan undang-undang bagi mereka yang dipanggil terutamanya ahli politik.
“Bekas perdana menteri Najib Razak dan Muhyiddin Yassin dilaporkan mempunyai peguam mereka bersama mereka ketika kenyataan mereka direkodkan,” katanya.
Tegasnya, peguam hanya bertindak sebagai penasihat untuk anak guam mereka semasa kenyataan itu direkodkan dan tidak seharusnya gentar dengan kemungkinan siasatan SPRM.
Dia turut menggesa kerajaan memastikan SPRM menegakkan undang-undang dan hak suspek serta saksi untuk diwakili peguam.
“Hak untuk mendapatkan peguam, sebagai hak perlembagaan, tidak boleh dibiarkan diabaikan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan seperti SPRM sehingga merugikan orang ramai,” kata Zaid.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/c6a3b1273ed473e67e38fe98809d86dc.jpg)
